Sunday, March 22, 2015

Siasat betul-betul bukan main-main saja....

Polis Tetap Siasat Isu 1MDB - KPN

Diterbitkan: Ahad, 22 Mac 2015 2:04 PM

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tetap menjalankan siasatan terhadap isu dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ketika Jabatan Audit Negara melakukan audit terhadap syarikat itu.

Beliau berkata walaupun polis sebelum ini menetapkan hanya akan menjalankan siasatan jika audit terhadap 1MDB mengesan sebarang percanggahan, pasukan petugas khas bagi kes itu yang bermesyuarat pada Jumaat lalu memutuskan segala maklumat atau laporan yang diterima berhubung kes itu perlu disiasat.

"Berikutan polis menerima maklumat dan laporan berkaitan kes (1MDB), pasukan petugas khas ini berpendapat kami perlu menjalankan siasatan yang sepatutnya ke atas apa juga maklumat yang diterima tanpa perlu menunggu laporan penuh Jabatan Audit Negara selesai," katanya.

Selain Bahagian Jenayah Komersial, pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat laporan polis berhubung 1MDB berkaitan dakwaan salah urus dana syarikat itu turut disertai Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melepaskan peserta Kayuhan Malaysia Polis Diraja Malaysia di Dataran Putrajaya di sini, Ahad.

1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan pada 2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan penyelewengan pengurusan kewangannya.

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lepas, telah mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan secara bebas akaun syarikat itu.

"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment