Sunday, March 22, 2015

Video Hudud 'Persenda Islam' - KPN


Diterbitkan: Ahad, 22 Mac 2015 1:57 PM
Khalid Abu Bakar
Tan Sri Khalid Abu Bakar

PUTRAJAYA: Wartawan BFM Aisyah Tajudin boleh berdepan hukuman sehingga setahun penjara berhubung video hudud di Kelantan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata.

Khalid berkata, ini kali kedua stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris itu mempersendakan agama Islam dengan memuat naik klip video menyindir pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya pada akhir tahun lepas, stesen radio BFM didenda RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu wawancara yang dibuatnya bersama sarjana agama dari Amerika Syarikat, Reza Aslan berhubung kalimah Allah pada 21 Oktober 2013.

"Saya ingin ingatkan stesen-stesen radio, khususnya BFM supaya lebih berhati-hati kerana sebelum ini mereka pernah dikenakan tindakan berhubung isu kalimah Allah.

"Kini, sekali lagi dia cuba mainkan isu yang sensitif kerana apa yang diucapkan oleh (wartawan BFM) Aisyah (Tajuddin) sebenarnya boleh dianggap mempersendakan agama Islam yang tentunya melukai perasaan ramai orang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Khalid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menentukan tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap stesen radio BFM serta mencari kaedah terbaik mengawal penyiaran isu-isu sensitif yang membangkitkan kemarahan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata polis akan memanggil Aisyah, penulis skrip dan pihak yang membuat ugutan terhadap penyampai BFM itu bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menimbulkan suasana tidak harmoni dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Katanya sehingga kini polis menerima lima laporan berhubung penyiaran video kontroversi itu.

No comments:

Post a Comment