Keputusan itu menamatkan penantian anggota-anggota pasukan keselamatan wanita di negara berpenduduk majoriti Islam ini sejak pihak berkuasa merancang untuk melaksanakan peraturan membenarkan anggota polis wanita Islam bertudung, beberapa tahun lalu.
Badrodin berkata, peraturan tersebut boleh digunakan oleh semua pasukan polis termasuk di daerah-daerah seluruh republik ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh penguatkuasaan peraturan baharu itu bergantung kepada setiap ketua polis daerah apabila menerima surat edaran.
“Penyediaan tudung untuk diedarkan kepada anggota polis wanita juga masih dalam proses,’’ katanya seperti yang dipetik daripada akhbar Republika, hari ini.
Antara lain, peraturan yang turut disiarkan di laman facebook Polri itu menyebut, polis wanita di Aceh tetap menggunakan tudung dan bagi polis wanita lain yang ingin memakai tudung boleh berbuat demikian mengikut kesesuaian.
Polemik larangan bertudung bagi anggota wanita Islam Polri tercetus pada pertengahan tahun 2013, apabila pelbagai pihak mendesak supaya peraturan bertudung segera dikuatkuasakan dalam pasukan keselamatan itu.
Pada akhir tahun yang sama, Ketua Polri pada masa itu, Jeneral Timur Pradopo berjanji akan mengeluarkan peraturan kebebasan bertudung secepat mungkin, namun sehingga penggantinya, Jeneral Sutarman mengambil alih Kapolri, peraturan itu belum dilaksanakan.
Pada November tahun lalu, Sutarman membenarkan pemakaian tudung dalam kalangan polis wanita Islam, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh timbalannya tidak lama kemudian.
Pertubuhan-pertubuhan Islam dan orang ramai turut mengalu-alukan peraturan baharu itu yang disifatkan bersesuaian dengan imej Indonesia sebagai negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia. – Utusan