TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Dua lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di lokasi peraduan melukis karikatur Nabi Muhammad SAW di Dallas, Amerika Syarikat, ditembak mati semalam.

Insiden itu berlaku di luar bangunan Curtis Culwell Center di Garland. Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan terkena tembakan pada bahagian kaki.

"Pihak polis telas membalas tembakan dan menyebabkan kedua-duanya mati di tempat kejadian.

"Unit pemusnah bom turut dipanggil bagi memeriksa sama ada terdapat bahan letupan dalam kenderaan dinaiki dua lelaki berkenaan," kata jurucakap polis.

Peraduan melukis karikatur Nabi itu dianjurkan oleh pertubuhan kontroversi berpangkalan di New York, American Freedom Defense Initiative (AFDI).

AFDI menawarkan ganjaran bernilai AS$10,000 (RM36,000) bagi karikatur terbaik yang menggambarkan Nabi.

Difahamkan pada laporan Press TV, acara berkenaan dirasmikan ahli politik Belanda, Geert Wilders yang dikenali sebagai anti-Islam.

Januari lalu, tindakan majalah satira Perancis, Charlie Hebdo menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW mencetus kemarahan dunia Islam dan kemuncaknya ibu pejabat majalah itu di Paris telah diserang.