Tuesday, May 5, 2015

Kathmandu makin pulih

PENGANUT Buddha membakar colok ketika sambutan Wesak di Kathmandu, semalam.

Kathmandu: Pekerja penyelamat asing digesa meninggalkan Kathmandu berikutan kerja menyelamat di bandar itu dan kawasan sekitar sudah banyak diselesaikan serta mampu ditangani pekerja tempatan.
Menteri Penerangan Minendra Rijal bagaimanapun mengakui bantuan asing mungkin masih diperlukan untuk bekerjasama dengan polis serta tentera penyelamat tempatan di kawasan pedalaman dan pergunungan terpencil.
Dia turut mengakui negaranya akan memerlukan sokongan antarabangsa yang kuat bagi membolehkan Nepal membina semula bandarnya yang musnah akibat gempa bumi 25 April lalu itu.
Tempoh serius pembinaan semula mengambil masa dua hingga tiga minggu. Biarpun anggaran kerosakan masih belum dapat dipastikan dan pasti membabitkan kos yang sangat besar.
Sejak gempa bumi itu, 4,050 pekerja penyelamat dari 34 negara diterbangkan ke Nepal bagi membantu dalam operasi menyelamat selain menyediakan bantuan perubatan kecemasan, makanan dan keperluan lain.
Kelmarin, pihak berkuasa terpaksa menutup sementara lapangan terbang utama di Kathmandu kepada pesawat besar berikutan keretakan pada landasan.
Ini berikutan lapangan terbang itu dibina hanya untuk mengendalikan pesawat bersaiz sederhana.
Dalam pada itu, ratusan orang dilaporkan mengadakan upacara keagamaan sempena perayaan Wesak.
Penganut Buddha, Santa Lama, 60, berkata: “Saya mendoakan ketenangan kepada ribuan mangsa yang terkorban. Semoga negara ini diberikan keamanan dan ketenteraman.”
Pihak polis melaporkan, angka kematian akibat gempa bumi terburuk Nepal sepanjang tempoh 80 tahun meningkat kepada 7,276.
Sebahagian daripada struktur yang dibina seawal abad kelima turut rosak ketika gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:14 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48525#sthash.E3GhsQeT.dpuf

No comments:

Post a Comment