NEW DELHI - INDIA. Fenomena gelombang haba yang melampau di India setakat ini telah meragut lebih 2,000 nyawa.

Namun,  di sebalik angka kematian yang membimbangkan itu, timbul fenomena aiskrim Hitler yang popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Aiskrim berkenaan dijual di kaki-kaki lima dan semakin mendapat sambutan sejak negara berkenaan dilanda cuaca panas sepanjang minggu lalu.

Bagaimanapun, nama aiskrim tersebut mengundang kritikan meluas di Eropah selepas seorang pelancong dari Berlin memuat naik gambar aiskrim yang turut memaparkan wajah Hitler di laman sosial.

Menurut Daily Mail, rata-rata pengguna media sosial di Jerman meminta syarikat yang menghasilkan aiskrim berkenaan menarik balik produk mereka daripada pasaran.

"Rakyat India perlu diberi pemahaman mengenai kekejaman yang pernah dilakukan Hitler," kata seorang pengguna sosial yang dipetik portal Daily Mail sebagai berkata.

Ini bukan kali pertama nama Hitler menjadi popular di negara itu kerana pada 2010 tinjauan BBC mendapati sebahagian besar warga India mengagumi pemimpin Nazi itu.

Malah, buku karya Hitler Mein Kampf muncul buku terlaris di India selama beberapa tahun.

Nama Hitler juga digunakan sebagai nama sebuah kafe yang dibuka di Mumbai pada 2006.