KATHMANDU - INDIA. Perdana Menteri Nepal, Sushil Koirala akan mengetuai pasukannya menentang pasukan bintang filem tempatan dalam satu perlawanan bola sepak di sini pada Isnin.
 
Penasihat akhbar beliau, Prakash Adhikari dalam kenyataan hari ini berkata, perlawanan itu dianjurkan akhbar harian tempatan, Naya Patrika.
 
Penganjur berkata Koirala, 74, bersetuju mengetuai pasukannya yang terdiri daripada anggota kabinet dan ahli politik kanan bagi menjayakan program amal itu.
 
"Oleh kerana anda menjemput, maka saya akan menyertainya," kata akhbar itu, yang memetik kata-kata Koirala.
 
Kutipan daripada perlawanan itu akan diserahkan kepada Tabung Bantuan Bencana Perdana Menteri bagi membiayai program pemulihan mangsa dan pembinaan semula struktur yang rosak akibat gempa bumi dahsyat yang melanda negara ini pada 25 April tahun ini.
 
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu mengakibatkan lebih 8,600 orang terbunuh dan merosakkan harta benda bernilai berbilion rupee. - Bernama