BEIJING - CHINA. China melancarkan larangan merokok di semua restoran, bar termasuk pejabat dan di dalam pengangkutan awam di seluruh negara bermula hari ini.

Larangan itu dikuatkuasakan untuk membentuk warga China yang lebih sihat.

Menurut Reuters, individu yang melanggar peraturan berkenaan termasuk merokok berhampiran kawasan sekolah dan hospital akan dikenakan denda 200 yuan (RM118).

Bagi mereka yang dikesan melakukan kesalahan tersebut sebanyak tiga kali, nama mereka akan dimuat naik di laman web kerajaan.

Pengusaha perniagaan pula boleh dikenakan denda sehingga 10,000 yuan (RM5,910) sekiranya gagal menghalang pelanggan merokok dalam permis mereka.

Namun, langkah itu dijangka memberi kesan minimum memandangkan tembakau seolah-olah sudah sebati dengan budaya masyarakat China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan China, kedai-kedai dalam jarak 100 meter dari sekolah rendah dan tadika tidak lagi dibenarkan menjual rokok.