Wednesday, June 10, 2015

Belanda ikrar bantu pembinaan semula Nepal

gempa bumi Nepal
Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA
9 Jun 2015

 KATHMANDU - NEPAL . Belanda mengikrarkan bantuan bagi pembinaan‎ semula dan pemulihan di Nepal berikutan gempa bumi kuat yang memusnahkan harta benda bernilai berbilion dolar (ringgit).

Menteri Perdagangan Asing dan Kerjasama Pembangunan Belanda, Lilianne Ploumen yang berada di Kathmandu bagi menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi pada 25 April lepas dan gempa susulan yang kuat berkata, Belanda berhasrat untuk membantu Nepal dalam kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula melalui Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan keperluan sebenar.

"Kerajaan Belanda menyediakan 10 juta Euro (RM42.59 juta) untuk Nepal bagi bantuan segera kepada rakyat yang terjejas dengan bencana itu manakala pertubuhan bukan kerajaan Belanda, menerusi rakan kongsi tempatan di Nepal telah membelanjakan kira-kira 20 juta Euro (RM85.19 juta).

"Kami akan bekerjasama dengan Bank Dunia dan agensi PBB dalam fasa seterusnya bagi membantu kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula," katanya. Belanda merupakan antara penyumbang terbesar kepada Tabung Tindakan Kecemasan PBB dan Program Makanan Dunia," kata Ploumen dalam sidang akhbar di Kathmandu pada Isnin pada akhir lawatan dua harinya di Nepal.

Ploumen berkata, Belanda akan mengambil bahagian dalam persidangan penderma‎ yang akan dianjurkan oleh kerajaan Nepal bagi mengumpul dana untuk proses pemulihan mangsa gempa bumi dan pembinaan semula infrastruktur fizikal yang musnah.‎

"Kami akan menyertai persidangan penderma ini. Ia akan menjadi peluang yang baik untuk Nepal berbincang dengan komuniti penderma mengenai rancangan pemulihan dan pembinaan semula," katanya.

Nepal berhasrat untuk menganjurkan persidangan penderma di Kathmandu pada 25 Jun ini bagi mengumpul dana yang diperlukan untuk pembinaan semula.

Ploumen meminta kerajaan Nepal menyediakan Penilaian Keperluan Pasca Bencana (PDNA) yang komprehensif dan rancangannya untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula semasa persidangan itu dan penderma akan memberikan sumbangan berdasarkan keperluan sebenar.

"Persidangan ini tidak seharusnya diadakan sekali sahaja, ia harus ada tindakan susulan daripada persidangan itu," kata menteri itu.

"Penduduk Nepal hidup dengan aman dalam komunitinya walaupun mereka kehilangan segala-galanya. Saya dapati mereka cuba untuk berdepan dengan situasi itu bersama-sama," katanya selepas melawat penempatan yang terjejas akibat gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lepas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,700 orang.

Belanda merupakan antara negara yang bertindak pantas menghulurkan bantuan selepas gempa bumi itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment