SHAH ALAM - Isteri kuat membebel antara sebab utama berlakunya kes perceraian di negeri ini, demikian pendedahan Ketua Pendaftar, Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Aluwi Parman.

Menurut Aluwi, kes isteri membebel sering dibangkitkan oleh suami apabila mereka memfailkan perceraian.

"Kes ini adalah antara yang tertinggi di bawah masalah tabiat kritikal pasangan.

“Ia sering dirujuk ke mahkamah kerana suami tidak tahan dengan tabiat kritikal isteri yang kuat membebel itu,” katanya pada sidang media Program Muzakarah, Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam Peringkat Negeri Selangor, semalam.  

Aluwi berkata, kebanyakan kes perceraian di Selangor juga melibatkan pasangan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Katanya, ia berpunca daripada lima jenis masalah utama melibatkan kejahilan terhadap agama, masalah ekonomi, campur tangan orang ketiga, anak dan tabiat kritikal seperti yang dinyatakan.

Menurutnya, kes perceraian ini dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun dan jumlahnya dianggarkan mencecah hampir 7,000 pada tahun 2015.

Sementara itu, seramai 220 pendaftar dan penolong pendaftar perkahwinan hadir ke program berkenaan dan 13 daripadanya terpilih menerima anugerah tokoh cemerlang kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Anugerah disampaikan oleh Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan.