Wednesday, June 10, 2015

Siapa mohon injuksi halang hudud wajar rasa malu

FATHIN ATHIRAH HASLI

Nasruddin Hassan
Nasruddin Hassan
SHAH ALAM – Mana-mana ahli Parlimen beragama Muslim yang memohon perintah injunksi mahkamah untuk menghalang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang Rang Undang-Undang Persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat wajar berasa malu.

Ahli Jawantankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkata, ia bagaikan satu usaha untuk menghalang hukum ALLAH diperteguhkan di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak mahupun individu untuk berbuat demikian.  Jika ia dilihat wajar bagi mana-mana pihak, maka silakan mengikut lunas perundangan yang sewajarnya.

“Cuma, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya malu kerana menghalang usaha untuk memperteguh hukum hakam ALLAH di negara ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh berkata, partinya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghalang usaha ini selain menegaskan, tujuan penubuhan Pas adalah  untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan negara berlandaskan nilai hidup Islam.

“… Pas tidak pernah berkompromi dengan tujuan penubuhannya sehingga ke hari ini. Pas hanya mengambil pendekatan secara berperingkat-peringkat, berdasarkan situasi semasa dan tanpa menggunakan kaedah agresif.

“Usaha pelaksanaan hudud khususnya di negeri Kelantan telah berjalan sebelum 1993 lagi. Pelbagai penerangan dan kempen telah giat dijalankan bagi memastikan rakyat memahami dengan jelas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) yang akan diimplementasikan di bumi Serambi Makkah ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara khusus bagi yang beragama Islam bersetuju dengan pembentangan RUU tersebut.

No comments:

Post a Comment