SHAH ALAM – “Sudah cerai talak tiga, takkan boleh tidur sebantal lagi. Dulu rakan sama taraf, sekarang kedudukan seperti rakan kongsi majoriti dan minoriti,” demikian Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim mengibaratkan hubungan kerjasama politik antara DAP dan Pas Selangor.
Menurutnya, sekiranya Pas ingin mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri, maka minoriti wajar mematuhi majoriti dan jika tidak boleh terima ketetapan itu, berpisah adalah jalannya.

“Sekiranya Pas masih berhasrat mengekalkan jawatan dalam Kerajaan Selangor, mereka hendaklah mengakui dan menerima hakikat bahawa parti itu tidak boleh lagi menjadi penentu dasar, sebaliknya mematuhi semua keputusan dasar kerajaan negeri yang dianggotai DAP dan PKR.

“Jika Pas tidak boleh menerima hakikat ini, cara terhormat dan bermaruah ialah meletakkan jawatan dalam Kerajaan Selangor,” katanya. 

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) dan Perdagangan dan Pengangkutan menegaskan, memandangkan Pas membuat keputusan melalui resolusi memutuskan hubungan dengan DAP,  pilihannya terhad.

Dalam pada itu, ketika ditanya potensi Pas dan Umno bergabung bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor, Adun Sungai Pinang itu menyifatkan tindakan berkenaan taktik paling keji kerana Umno ialah parti yang ditolak rakyat dalam pilihan raya.

“Usaha bergabung dengan Umno adalah mengkhianati rakyat. Bahkan terdapat Adun Pas yang bermaruah tidak akan bersetuju dengan penggabungan Pas dan Umno di Selangor. Gabungan Pas dan Umno tidak akan berjaya kerana tiada majoriti,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Selangor tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PR termasuk DAP.
Beliau menegaskan Exco Pas negeri itu akan terus melaksanakan tugas dan tidak berhasrat meletakkan jawatan.