Tuesday, June 9, 2015

Pendengaran Kes Saman Anwar Ibrahim Ditetap Pada 2 September


Diterbitkan: Isnin, 8 Jun 2015 12:01 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 2 Sept untuk mendengar kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lepas.
Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili SPR, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad.
Pada 6 Mei lepas, Anwar, yang juga bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Selain menuntut pampasan dan kos, Anwar turut menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.
Anwar, 68, dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada 30 April lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.
Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada SPR dan Abdul Aziz, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai pengundi dan ia bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan Permatang Pauh sebelum dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas dan telah mengundi di kawasan itu pada PRU ke-13 dua tahun lepas.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment