ALOR SETAR - Jawatan menteri kewangan perlu diasingkan daripada perdana menteri, bagi mengelak wujudnya spekulasi berlaku ketidakseimbangan, penipuan serta penyelewengan dana awam, selain merupakan sistem pentadbiran yang tidak sihat.
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, sejak awal lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serentak, bagi mengelak beliau mempunyai akses dan kuasa berlebihan dalam meluluskan peruntukan.
“Contohnya, pengerusi sebuah NGO tidak boleh serentak memegang jawatan bendahari. Perdana Menteri selaku ketua pentadbiran negara mempunyai kuasa paling tinggi dalam Kabinet, maka beliau tidak wajar memegang jawatan Menteri Kewangan, menyebabkan beliau mempunyai kuasa yang terlalu besar.
“ Disebabkan itu, Kabinet wajar melantik seorang menteri kewangan sepenuh masa. Tidak mungkin kalangan ahli parlimen BN, tiada seorang pun layak?,” katanya.
Adun Derga itu berkata, seeloknya Najib melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan buat sementara bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan bebas.
“Laporan Wall Street Journal (WSJ) berhubung wang berbilion ringgit 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi milik Najib bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia, malah mencalarkan reputasi dan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, walaupun Najib menafikan laporan WSJ terbabit, selain mendakwa tuduhan terbabit adalah muslihat politik namun, kenapa perkara itu dihebohkan dan sudah pasti ada sebabnya.
Terdahulu, Kok Yew menyampaikan sumbangan Ramadan dan bubur lambuk kepada 70 penerima di sekitar Dun Derga, anjuran Pusat Komuniti Derga.