Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu yakin bahawa pembentukan pasukan itu adalah untuk mencari kebenaran, sama ada segala tuduhan terhadap 1MDB itu benar atau sebaliknya.
“Saya menyokong penuh pasukan penyiasat yang dibentuk ini dan bersetuju perkara (siasatan) ini perlu diselesaikan segera untuk memulihkan kembali keadaan yang meresahkan banyak pihak ini.
“Siasatan ini mesti telus dan mengikut lunas undang-undang yang siasatan tidak mengira siapa pun,” katanya berucap dalam Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Iftar UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Hujung Tambak, Gersik, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed; ADUN Jorak, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh; Ketua Wanita UMNO Pagoh, Senator Datuk Noriah Mahat dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Zaid Abdul Rahman.
Rabu lalu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail: Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik menganggotai pasukan itu untuk menyiasat tuduhan terhadap 1MDB.
Muhyiddin berkata, pasukan petugas berkenaan ditubuhkan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa sebaliknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap segala tuduhan yang dilemparkan.
Jelasnya, jika isu 1MDB tidak diselesaikan dalam masa terdekat dibimbangi akan memberi pandangan negatif masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara malah dikhuatiri mempengaruhi pelabur untuk tidak melabur di negara ini.
Katanya, isu tersebut menjadi perhatian masyarakat antarabangsa yang melihat serta meneliti perkembangannya dan sebab itu kepercayaan mereka harus dipulihkan.
“Paling penting kita juga mahukan keyakinan rakyat terhadap negara dan pemimpin termasuk kepercayaan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) terus utuh apatah lagi tidak lama lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan.
“Sudah semestinya semua pihak mahukan kesudahan yang baik terhadap kemelut yang berlaku ini kerana jika tidak perkara ini akan menjejaskan juga pandangan masyarakat terhadap negara dan pemimpin,” ujarnya.