Monday, July 6, 2015

Greece adakan pungutan suara


Tsipras membuang undi dalam penentuan menyokong atau menolak lebih banyak langkah penjimatan untuk bantuan antarabangsa bagi membayar hutang besar Greece dalam pungutan suara di seluruh negara semalam. - REUTERS


ATHENS – Rakyat Greece semalam membuat undian bersejarah sama ada akan menerima langkah penjimatan ketat untuk mendapatkan pinjaman tambahan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sebanyak 11 juta pengundi membuat pilihan itu di seluruh negara sementara negara Eropah lain dan pelabur antarabangsa memerhati dengan teliti pilihan rakyat Greece. Kegagalan menyokong pelan penjimatan EU-IMF akan menyebabkan Greece terkeluar daripada negara mata wang euro.
Di ibu kota Greece, Athens berpuluh-puluh orang berbaris di luar sebuah sekolah dan bangunan universiti yang dijadikan pusat membuang undi seawal pukul 7 pagi (waktu tempatan semalam). Pusat-pusat mengundi akan ditutup 12 jam kemudian.
“Saya mengundi ‘tidak’ kerana saya fikir itu lebih baik untuk negara ini. Saya bukan mengundi untuk diri sendiri tapi untuk cucu-cucu saya dan masa depan mereka,” kata pengundi pertama di sebuah sekolah semalam bernama Michelis, 80.
Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras yang merupakan pemimpin radikal haluan kiri mempertaruhkan kerjaya politiknya kepada pungutan suara tersebut. Tsipras mula mentadbir Greece sejak enam bulan lalu.
Tsipras membuat keputusan drastik untuk mengadakan pungutan suara rakyat pada minggu lalu untuk menamatkan kebuntuan dengan pemiutang antarabangsa yang berlarutan selama lima bulan.
Undi ‘tidak’ dalam referendum itu memberikan Greece lebih banyak kelonggaran dan ruang untuk menstruktur semula hutang negara.
Bagaimanapun, ramai penyokong Tsipras beralih untuk mengundi ‘ya’ susulan amaran beberapa pemimpin EU bahawa undian ‘tidak’ boleh menyebabkan Greece terkeluar daripada EU.
Menteri Kewangan Greece, Yanis Varoufakis kelmarin menuduh pemiutang antarabangsa itu sebagai memeras ugut Greec di samping menegaskan tiada peruntukan undang-undang untuk memaksa negara ini keluar daripada EU.
Greece secara rasmi diisytihar gagal membayar hutangnya pada Jumaat lalu oleh agensi Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah yang memegang 144.6 bilion Euro (RM608.81 bilion) pinjaman negara ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3f4BfVcwF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment