Tuesday, August 25, 2015

"Buat Aktiviti Berfaedah Daripada Sertai Bersih 4.0" - Ahmad Maslan


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 3:01 PM
Ahmad (dua, kiri) menunjukkan salah satu logo Hari Kebangsaan yang dihasilkan oleh Hashim (tiga, kiri). Turut serta Raja Zahabuddin (kiri) dan Haryaty (empat, kiri). - Gambar - IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

SUBANG JAYA: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyeru anak-anak muda supaya melakukan aktiviti berfaedah bagi memperingati hari kemerdekaan negara daripada menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung minggu ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, terdapat pelbagai program kreatif boleh dilakukan sempena hari kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos ini.
"Jauhilah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah sama sekali seperti yang dihasratkan oleh pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi Bersih.
"Sepatutnya nama Bersih itu... bersihlah tujuan dan kaedahnya. Jangan hanya namanya bersih, tetapi tujuan dan kaedahnya tidak bersih. Tidak bersih kerana mengingkari arahan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih anjuran Puteri Umno di kediaman pencipta logo hari kebangsaan, Prof Madya Hashim Hassan di sini, Selasa.
Turut hadir Ketua Penerangan Puteri Umno, Haryaty Hamdzah dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.
Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kita sudah ada Akta Perhimpunan Aman dan membenarkan supaya diadakan di kawasan tertentu sehingga stadium pun kita boleh benarkan. Tetapi mengapa mesti berhasrat untuk melakukan di jalan raya di ibu kota yang boleh menganggu pelbagai pihak dan memberikan imej tidak baik kepada negara," soal Ahmad.
Sehubungan itu beliau berharap agar Umno termasuk sayap Pemuda, Puteri dan Wanita akan berusaha dalam masa beberapa hari lagi supaya mempergiatkan pelbagai aktiviti sempena hari kemerdekaan.
Menurut Ahmad, Biro Penerangan Umno telah menyediakan peruntukan khas kepada 191 bahagian di seluruh negara untuk melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan kemerdekaan.
"Kita sediakan kira-kira RM10,000 untuk satu bahagian bagi melakukan sekurang-kurangnya dua ceramah dan dua lagi aktiviti berkaitan kemerdekaan. Sekurang-kurangnya empat program di setiap bahagian sempena hari kemerdekaan ini," katanya.
Sementara itu, Haryaty berkata, program Ziarah Kasih menunjukkan keprihatinan orang muda terutama sayap parti terhadap orang-orang lama yang memberi banyak sumbangan kepada negara.
"Selain itu, ia memberikan inspirasi kepada orang muda untuk mencontohi sumbangan bakti mereka. Kesedaran ini dapat memberikan yang terbaik kepada negara.
"Ini juga dapat kita sebarkan supaya anak-anak muda dapat meraikan Hari Kebangsaan ini dengan cara kita sayangkan negara dan bukannya merosakkan negara," katanya.
Haryaty bagaimanapun berkata, program Ziarah Kasih bukan sekadar tertumpu kepada Hari Kebangsaan semata-mata tetapi akan dilakukan secara berterusan bagi aktiviti pergerakan Puteri Umno.

No comments:

Post a Comment