Wednesday, August 12, 2015

Greece kembali bernafas


REUTERS - STATHAKIS (kiri) dan Tsakalotos meninggalkan sebuah hotel selepas berunding dengan pemiutang Greece di Athens semalam.


ATHENS – Greece dan pemiutang antarabangsanya mencapai satu persetujuan berhubung pelan penyelamatan ekonomi berjumlah ¤86 bilion (RM376 bilion) semalam dan akan dibentangkan di Athens lewat hari yang sama.
“Satu persetujuan telah dicapai,” kata sumber kerajaan. Menteri Kewangan Euclid Tsakalotos bagaimanapun berkata: “Kami amat dekat, cuma tertinggal beberapa butiran kecil untuk diselesaikan.”
Sumber kementerian kewangan pula menyatakan bahawa butiran tersebut tidak akan menjejaskan kandungan utama perjanjian itu.”
Pada peringkat akhir rundingan berkenaan, Tsakalotos dan Menteri Ekonomi Yiorgos Stathakis menghabiskan masa 22 jam berunding dengan barisan wakil kanan daripada Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk memuktamadkan senarai pembaharuan yang perlu dilakukan oleh kerajaan Greece sebagai tukaran kepada pelan penyelamatan ekonomi tersebut.
Tarikh akhir untuk mencapai persetujuan berhubung pelan penyelamatan ekonomi berkenaan, yang ketiga buat Greece, ialah pada 20 Ogos ini apabila Athens perlu membayar hutang berjumlah ¤3.4 bilion (RM15 bilion) kepada ECB.
Media tempatan, ERT semalam melaporkan bahawa Perdana Menteri Alexis Tsipras telah berbincang kepada Canselor Jerman Angela Merkel, Presiden Perancis Francois Hollande, ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker dan Pengerusi Parlimen Eropah Martin Schultz berhubung persetujuan tersebut.
“Perjanjian hari ini (semalam) akan diserahkan ke Parlimen,” kata seorang pemimpin parti pemerintah, Christos Staikos.
Parlimen Greece dijangka mengundi perjanjian itu esok, manakala barisan menteri kewangan zon mata wang Euro boleh meluluskannya pada hari berikutnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3iYCuhGWI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment