Saturday, August 29, 2015

Mahkamah Rayuan perintah Mohamad Salleh jawab pertuduhan pecah amanah

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 7:08 PM

PENGERUSI Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

 PUTRAJAYA: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, perlu menjawab dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya membabitkan RM49.7 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sr Md Raus Sharif yang mengetuai barisan panel tiga orang hakim, memerintahkan supaya kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh.

Ketika menolak rayuan Mohamad Salleh untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan pecah amanah, Hakim Md Raus berkata dalam kes ini, perbicaraan telah bermula di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan telah memanggil saksi-saksinya untuk memberi keterangan. Oleh yang demikian, kata beliau, perbicaraan hendaklah diteruskan. "Jika pihak pembela mempunyai pembelaan yang kukuh berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak pendakwa, mereka boleh membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan semula bagi meneruskan pertuduhan atau sebaliknya. "Kami tidak mempunyai alternatif. Kami menolak rayuan dan perintah Mahkamah Tinggi dikekalkan dan kami mengarahkan supaya perbicaraan di mahkamah peringkat rendah (Mahkamah Sesyen) diteruskan," kata Hakim Md Raus yang mendengar rayuan bersama hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Hakim Datuk Lim Yee Lan. Mohamad Salleh memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuannya berhubung dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan. Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah NFCorp, dituduh melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di antara 1 dan 4 Disember, 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail. Dia juga dituduh melakukan kesalahan yang serupa dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 November, 2009, ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang dia dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan. Kedua-dua pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. Mohamad Salleh juga menghadapi dua lagi pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan syarikat untuk membuat sebahagian daripada pembayaran bagi pembelian unit-unit kondominium.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000. Perbicaraan sebelumnya di Mahkamah Sesyen juga termasuk kedua-dua pertuduhan.

 Semasa prosiding hari ini, ketika ditanya oleh Hakim Md Raus mengapa pihak pembela tidak merayu terhadap dua lagi pertuduhan, peguam Mohamad Salleh iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjawab bahawa kedua-dua pertuduhan tidak mempunyai prospek dan jika mahkamah membenarkan rayuan hari ini untuk membatalkan tuduhan pecah amanah, dua lagi pertuduhan tidak dapat bertahan. Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa dua lagi pertuduhan pecah amanah terhadap anak guamnya adalah tidak berasas dan harus dibatalkan oleh mahkamah.

 Sebelum Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menjawab hujah Muhammad Shafee, Hakim Md Raus bertanya kepada Syed Faisal sama ada mahkamah boleh membatalkan pertuduhan pecah amanah tanpa mendengar keterangan saksi-saksi. Syed Faisal berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai budi bicara untuk membatalkan pertuduhan kerana pertuduhan itu adalah tepat dan benar terhadap perayu (Mohamad Salleh).

Beliau menekankan bahawa perbicaraan kes bermula di Mahkamah Sesyen di peringkat pemeriksaan utama saksi-saksi pihak pendakwa, oleh itu ia harus diteruskan. Mohamad Salleh hadir di mahkamah diiringi isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa susulan keputusan hari ini, beliau akan menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara menjelang Isnin ini unuk mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap anak guamnya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77992

No comments:

Post a Comment