Menurutnya, debat bukan cara sesuai untuk menyelesaikan persoalan itu ekoran format debat itu sendiri.
"Sebab itu dari awal lagi YB Tony Pua (Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) sebut nak tanya soalan. Kerana ada banyak soalan yang belum berjawab.
"Saya rasa debat lebih terkongkong, lebih kepada hujah yang umum. Jadi, kalau debat, memang tak berjawablah soalan-soalan itu.
"Malah kalau YB Tony dapat tanya 10 soalan itu pun , ia tetap tak akan berjawab.  Soalan itu sudah lima tahun kita tanya. Daripada Parlimen pun kami tak pernah dapat jawapan. Mereka ‘corner’ dan terus ‘corner’," katanya kepada Sinar Online, semalam.
Sebelum ini, Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda menolak untuk berdebat selepas calon debat asal, Tony Pua ditukar dengan Rafizi kerana Parlimen menolak penglibatan Tony Pua susulan kedudukannya dalam PAC.
Namun pada sesi penerangan perdana kepada ahli-ahli Umno baru-baru ini, Arul memberitahu beliau bersedia untuk memberi penjelasan kepada sesiapa sahaja mengenai 1MDB.
Ketika ditanya perkembangan debat itu, Rafizi memberitahu sehingga hari ini masih belum mendengar sebarang maklum balas dari Arul.
"Saya tak hantar lagi surat. Saya bolehlah e-mel semula tapi saya tak yakin beliau akan terima. Cuma kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini kerana bagi saya agak bongkak untuk (Arul) buat kenyataan secara terbuka di hadapan orang-orang Umno.
"Tapi tak apa, saya akan boleh terus buat ‘follow up’ dengan dia. Cuma, ya lah, saya yakin dia tidak akan berani untuk berdebat secara terbuka. Sampai ke sudah," katanya.
Tegasnya, persoalan 1MDB tidak akan terungkai sampai bila-bila sehingga berlaku pertukaran kerajaan.
"Kita boleh tubuhkan satu Suruhanjaya Diraja. Jika tidak, apabila ditanya begini, sudah tentu ada helah yang tidak semua akan didedahkan kepada rakyat," katanya.