Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak bersikap pilih kasih kerana wakil rakyat Pas itu bersedia dan setia berkhidmat untuk kerajaan yang diterajuinya.
"Ya, memang beliau masih anggota Pas tetapi beliau sudi sokong kerajaan negeri Pulau Pinang sungguhpun ia kerajaan negeri Pakatan Harapan.
"Beliau juga sedia membela kerajaan negeri Pakatan Harapan dan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan. Saya rasa itu penting. Sekiranya sedia membuat kenyataan terbuka seperti ini, maka tidak timbul isu-isu sama ada beliau setia atau tidak.
"...selain Cekap, Bersih, Amanah, (wakil rakyat) mesti setia. Beliau telah pun menunjukkan kesetiaan dan menyokong dasar-dasar serta kepimpinan negeri termasuk menyokong saya sebagai ketua menteri," kata Lim pada persidangan Dun Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zain Ahmad (BN-Penaga) yang bertanya sama ada kerajaan Pulau Pinang mengamalkan pilih kasih dan akan mengambil tindakan memecat Salleh Man kerana beliau masih anggota Pas.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengisytiharkan parti itu sebagai pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan DAP menamatkan perkhidmatan 300 anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari Pas di kawasan Parlimen Kepala Batas.
Lim yang juga Adun Air Putih berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang memecat dan menamatkan perkhidmatan 300 daripada 1,083 anggota Pas kerana mereka tidak bersedia menyokong kerajaan negeri.
"Kena ingat, DAP tidak memutuskan hubungan dengan Pas. DAP putuskan hubungan dengan presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)...Pas yang putuskan hubungan dengan DAP.
Justeru, beliau meminta Pas menyatakan pendirian dan membuat keputusan berhubung 70 peratus lagi anggota Pas yang masih menjadi anggota JKKK. Di Dun Pulau Pinang, Mohd Salleh masih duduk di kerusi bahagian kerajaan negeri. - Bernama