Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, walaupun mungkin prosedurnya itu betul tetapi moralnya tidak tepat dan urus tadbirnya juga harus diteliti dengan cermat serta bertanggungjawab.
“Pas berpendapat urus tadbir Yapeim harus disemak semula bagi memastikan institusi Islam itu bebas daripada dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
“Pas mahu pihak kerajaan segera melihat semula polisi serta urus tadbir Yapeim bagi memastikan ia berada pada landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu Yapeim: Jamil Khir fail saman Akmal]
Beberapa pendedahan berkaitan program yang dibiayai Yapeim dibuat Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now) baru-baru ini melibatkan dana bernilai jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu pihaknya juga mengalu-alukan laporan audit tahunan Yapeim didedahkan supaya ia dapat dipertimbangkan oleh rakyat.
“Pas dan rakyat tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang penyelewengan dan korupsi terhadap Yapeim,” katanya.
Katanya lagi, meskipun Yapeim adalah perbadanan di bawah ikatan amanah, namun ia juga merupakan sebahagian daripada milik rakyat yang menyumbang melalui skim caruman gaji pekerja.
Tambahnya, “oleh itu, ia wajib bertanggungjawab terhadap isu-isu yang dipersoalkan oleh rakyat. Pas menggesa pihak kerajaan mengambil iktibar kes Lembaga Tabung Haji dan kes pelaburan dana daripada anak syarikat pelaburan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.