BACHOK – Hasrat seorang ibu untuk membina sebuah bilik dilengkapi bilik air di rumah agar mudah untuk dia memandikan anaknya yang koma sejak 17 tahun lalu, masih belum tercapai walaupun sudah empat tahun hasrat itu disuarakan menerusi media massa.
Ketua Unit Komunikasi dan Media Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), Akidi Hamid berkata, ibu mangsa, Maziah Jusoh, 52, sudah cuba memohon bantuan daripada beberapa pihak untuk membina bilik untuk anaknya, Siti Suzaini Jailani, 24, namun masih tiada maklum balas sehingga kini.
Menurutnya, bilik itu diperlukan bagi memudahkan Maziah memandikan anaknya yang dalam keadaan koma, tanpa mengusung dalam jarak jauh kerana khuatir akan memberi kesan kepada anaknya itu.
“Keluarga mangsa amat berharap ada pihak yang sudi membantu Siti Suzaini untuk mendapatkan sebuah bilik khas seluas 16 meter persegi dengan bilik air.
“Anak sulung daripada lima beradik ini masih belum sedarkan diri walaupun sudah masuk 18 tahun terlantar di katil khas. Dia diurus ibu dan adiknya (Siti Suhaini) yang menyalurkan susu melalui tiub, selain perlu diusung kerana jarak bilik mandi dan katil agak jauh,” katanya yang sudah melawat dan menyampaikan sedikit bantuan kepada keluarga terbabit.
Menurut Akidi, suami Maziah hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala Maziah sendiri bergantung kepada peniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya untuk menampung keperluan harian bagi meringankan kos perbelanjaan Siti Suzaini yang mencecah RM1,300 sebulan termasuk lampin dewasa, susu khas dan sebagainya.
Katanya, Siti Suzaini memerlukan tilam elektrik khas yang sudah tujuh kali ditukar dan setiap kali diganti, ia memerlukan kos RM1,000.
“Mereka dapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi dikatakan tidak mencukupi. Orang ramai yang mahu meringankan beban mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Maziah Jusoh 153083110225 atau hubungi 017-9233635,” katanya.
Sinar Harian pada 4 Ogos 2012 pernah menyiarkan kisah mengenai Siti Suzaini.
Difahamkan, KELSS ditubuhkan pada 15 Januari tahun lalu dan didaftar secara rasmi di Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 27 Mei tahun lalu bagi mengajak rakyat membantu golongan memerlukan, terutama melibatkan kes terpencil.
Keahlian KELSS kini mencecah 60 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang.