Thursday, January 7, 2016

Korea Utara ledak bom nuklear



GAMBAR fail menunjukkan Jong-un menggunakan binakular semasa melawat sebuah pos pertahanan di sempadan negara itu pada 1 Julai 2014.- REUTERS


PYONGYANG – Korea Utara semalam mengumumkan negara itu berjaya meletupkan sebuah bom hidrogen kecil yang mencetuskan kebimbangan di Jepun dan Korea Selatan.
Media Korea Utara melaporkan, pemimpinnya, Kim Jong-un mengarahkan ujian bom nuklear itu, kali keempat oleh Korea Utara.
“Bom hidrogen pertama berjaya diuji pada pukul 10 pagi (waktu Korea Utara) semalam," lapor agensi berita rasmi KCNA.
Pada bulan lalu, Jong-un mendakwa negaranya berjaya membina sebuah bom hidrogen, juga dikenali sebagai bahan termonuklear yang lebih kuat daripada bom atom. Namun, Amerika Syarikat (AS) dan pakar-pakar antarabangsa sangsi dengan dakwaan tersebut.


PEGAWAI Pentadbiran Meteorologi Korea Selatan, Ko Yun-hwa (kiri) menunjukkan kawasan gempa bumi yang berlaku akibat ujian bom nuklear Korea Utara di Seoul semalam.- REUTERS


Dalam perkembangan berkaitan, para pegawai risikan Korea Selatan dan beberapa penganalisis mempertikai sama ada letupan kuat dan dahsyat semalam benar-benar berpunca daripada bom hidrogen.
Bom itu mengeluarkan tenaga 6 kiloton atau bersamaan ledakan 6,000 tan bahan letupan TNT, demikian menurut jawatankuasa perisikan Parlimen Korea Selatan.
“Skala letupan ini terlalu kecil untuk sebuah bom hidrogen sebenar. Mereka mungkin mele­tupkan campuran antara bom atom dan bom hidrogen. Sukar untuk mempercayai dakwaan Pyongyang melainkan mereka mengemukakan bukti kukuh," kata penyelidik kanan Forum Pertahanan dan Keselamatan Korea, Yang Uk.
Bom nuklear terbahagi kepada bom atom dan bom hidrogen.
Dalam pada itu, Pusat Kajian Geologi AS melaporkan bahawa satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.1 berlaku kira-kira 49 kilometer dari Punggye-ri, lokasi ujian bom nuklear itu.
Sekiranya dakwaan Korea Utara bahawa bom nuklear lebih kecil digunakan dalam ujian kali ini, ia menandakan Pyongyang boleh memasang bom itu pada peluru berpandu balistik yang bukan sahaja mengancam keselamatan jirannya iaitu Jepun dan Korea Selatan, malah turut membaha­yakan AS. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3wVCYGJPk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment