Thursday, January 7, 2016

Nilam biru terbesar bernilai £120 juta ditemui di Sri Lanka




BATU nilam terbesar di dunia ini ditemui di sebuah lombong di Ratnapura, selatan Sri Lanka.- AGENSI


COLOMBO – Batu nilam bintang biru terbesar di dunia seberat 1,404 karat yang bernilai sehingga £120 juta (RM761.43 juta) ditemui di Sri Lanka.
Permata itu ditemui pada Ogos 2015 dekat bandar Ratnapura, selatan Sri Lanka. Menurut media tempatan, Ratnapura terkenal dengan dagangan batu permata digelar sebagai bandar permata.
Batu nilam itu bernilai sekurang-kurangnya £68 juta (RM431.47 juta) tetapi boleh dijual pada harga mencecah £120 juta.
Pemilik baru batu nilam itu yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu akhbar tempatan, Ceylon Today bahawa dia berdebar apabila mengetahui permata itu merupakan batu nilam terbesar di dunia.
“Batu nilam ini terlalu besar untuk dijadikan barang kemas dan perlu disimpan di muzium," katanya.
Dia menggelarkan permata miliknya sebagai Bintang Adam sempena kepercayaan sebahagian orang Islam bahawa Nabi Adam turun ke Sri Lanka selepas baginda diperintah keluar dari syurga.
Nabi Adam kemudian dikatakan menetap di sebuah gunung, Punca Adam, kira-kira 24 kilometer dari Ratnapura.
Rekod dunia batu nilam biru sebelum ini ialah seberat 1,395 karat.
Permata itu kadangkala mempunyai corak sebutir bintang di tengahnya ekoran fenomena biasan cahaya yang dinamakan asterisme.
Pada 2011, Persatuan Batu Permata Dan Barang Kemas Sri Lanka menyatakan, batu nilam pada cincin pertunangan Kate Middleton berasal dari negara itu.
Batu permata Duchess of Cambridge itu yang pada asalnya milik Puteri Diana, dinamakan Batu Nilam Biru Cyelon, kata persatuan itu pada April lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3wVAwRV00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment