Tuesday, March 4, 2014

Azmin, Khalid bincang lepas PRK


FATHIN ATHIRAH HASLI
4 Mac 2014

Abdul Khalid dan Azmin
Abdul Khalid dan Azmin



KAJANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengambil kata putus untuk tidak membincangkan mengenai perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR sehingga PRK Dun Kajang selesai.

"Kami tidak mahu membincangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini, tunggu PRK selesai.

"Buat masa sekarang, kami sedang fokus pada PRK, perkara ini akan dibangkitkan semula selepas pilihan raya berakhir nanti," kata Abdul Khalid selepas perasmian Bilik Gerakan Utama PKR bagi PRK Dun Kajang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak kepimpinan telah membincangkan perkara ini secara terbuka dan ianya satu salah satu proses demokrasi yang tidak menyalahi undang-undang parti.

"Parti beri ruang kepada mereka yang mahu bertanding.

"Keputusan mereka (Azmin dan Abdul Khalid) tidak mendapat apa-apa tentangan dari saya," katanya.

Jelasnya, kedua-dua mereka berhak untuk bertanding dan ia merupakan pilihan masing-masing untuk berkhidmat pada parti.

Pada awal Mac lalu, Abdul Khalid yang juga Adun Port Klang itu mengumumkan kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang oleh Azmin.

Pengumuman tersebut sekaligus didakwa sesetengah pihak bakal menggugat kredibiliti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kerusi di PRK Kajang.

Karzai marah dengan pentadbiran AS


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyuarakan kemarahannya kepada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) berhubung peranan Washington di tanah airnya.
Kemarahan itu dibuat ketika Karzai akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya Presiden diadakan di negaranya pada 5 April depan.
Presiden Afghanistan itu membidas AS dalam wawancaranya dengan akhbar Washington Post.
Akhbar tersebut menyiarkan wawancara itu kelmarin.
"Penduduk Afghanistan mati dalam peperangan yang bukan disebabkan oleh warga kami," katanya.
Menurutnya, beliau berasa pasti bahawa peperangan di Afghanistan yang berlanjutan selama 12 tahun itu dilancarkan AS untuk keselamatan Washington dan kepentingan Barat.
Peperangan AS di Afghanistan bermula selepas serangan pengganas di New York pada 11 September 2001.
Karzai enggan menandatangani satu perjanjian keselamatan dengan Washington.
Perjanjian itu akan membolehkan askar-askar asing kekal berada di Afghanistan pada tahun 2015.
Keengganan Karzai itu menyebabkan Presiden Barack Obama mengarahkan Jabatan Pertahanan di negaranya untuk melakukan persediaan supaya askar-askar AS meninggalkan Afghanistan selepas tahun 2014. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2uwJ5B4NT 
Hakcipta terpelihara 

Rusia tambah askar di Crimea


BEBERAPA anggota tentera dipercayai dari Rusia berjalan di kampung Perevalnoye, Semenanjung Crimea, Ukraine semalam.
Rusia tambah askar di Crimea


KIEV - Kerajaan Ukraine semalam menuduh Rusia menambahkan bilangan askar dan pesawat perang di Semenanjung Crimea.
Semenanjung Crimea yang merupakan wilayah Ukraine diceroboh Rusia sejak minggu lalu ekoran konflik politik yang berlaku di negara ini.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyatakan, askar-askar tersebut diperlukan di semenanjung tersebut sehingga kestabilan wujud di Ukraine.
Crimea merupakan semenanjung yang berada di lokasi strategik di Laut Hitam.
Ia mempunyai jumlah penduduk Rusia yang ramai walaupun berada di dalam wilayah Ukraine.
Presiden Rusia, Vladimir Putin diberikan kebenaran oleh anggota-anggota Parlimen di negaranya pada Sabtu lalu untuk menceroboh Crimea.
Ekoran pencerobohan itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran kepada Rusia akibat yang bakal dihadapinya ekoran pencerobohan tersebut.
Beberapa buah negara kaya turut mengancam untuk menggugurkan keanggotaan Rusia dalam Kumpulan Lapan ekoran tindakan Putin tersebut.
Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier menyatakan, situasi di Ukraine bertambah buruk pada setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghubungi Putin dan berbual dengannya pada Sabtu lalu bagi memberitahunya tentang padah yang perlu diterimanya jika Rusia masih kekal di dalam wilayah Ukraine tersebut.
OBAMA menghubungi Putin di White House, Washington pada Sabtu lalu.


Konflik di Ukraine dengan Rusia berlaku selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Viktor Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.
Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara anggota-anggota polis dengan penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.
Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Rusia kemudian tidak mengiktiraf Turchnov sebagai Presiden sementara.
Sebaliknya, Rusia masih mengiktiraf Yanukovych sebagai Presiden Ukraine kerana beliau mempunyai hubungan amat rapat dengan Moscow. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uwHoem59 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Thai mahu rundingan


Penunjuk perasaan antikerajaan beredar dari tengah ibu kota Bangkok dan berkumpul semula di tengah Taman Lumpini di Bangkok, kelmarin. Thailand mengadakan semula pilihan raya bagi lima wilayah, kelmarin setelah proses pengundian di lima wilayah itu pada 2 Februari lalu diganggu penunjuk perasaan bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. - REUTERS
BANGKOK 3 Mac - Majoriti rakyat Thailand mahu pemimpin bantahan antikerajaan, Suthep Thaugsuban dan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra mengadakan rundingan secara terbuka bagi mengakhiri krisis politik negara ini, lapor satu tinjauan hari ini.
Keputusan tinjauan tersebut yang dijalankan oleh Suan Dusit disiarkan ketika kumpulan penunjuk perasaan mula berundur dari kawasan tengah Bangkok yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan dan penyebab kesesakan trafik.
Sebanyak 71 peratus responden bersetuju bahawa Yingluck dan Suthep perlu mengadakan perbincangan yang disiarkan melalui siaran langsung bagi menamatkan konflik politik Thailand.
Namun, hanya enam peratus sahaja tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana dikhuatiri akan merumitkan lagi krisis politik negara ini.
Dalam pada itu, penduduk Bangkok berasa lega untuk ke tempat kerja selepas beberapa jalan utama tidak lagi dikuasai kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan.
Bagaimanapun kumpulan yang diketuai Suthep itu mula tertumpu di kawasan mahkamah bagi memberi tekanan kepada Jabatan Kehakiman untuk menggesa Yingluck berundur.
Penganalisis politik dari Universiti Chulalongkorn, Siripan Nogsuan Sawasdee berkata, Suthep menukar strategi untuk menggulingkan Yingluck melalui mahkamah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Beliau (Suthep) sedar nasib kerajaan tidak bergantung kepada demonstrasi jalanan yang diusahakan oleh penyokongnya,
sebaliknya masa depan Yingluck bergantung kepada Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_04/Rakyat-Thai-mahu-rundingan#ixzz2uwBRwUeD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera Rusia atur kedudukan


Sebahagian kenderaan perisai dipercayai milik tentera Rusia, dilihat berada di dalam kawasan unit tentera Ukraine di Kampung Perevalnoye, di luar Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS
KIEV 3 Mac - Tentera Rusia mula mengatur kedudukan kenderaan berperisai di kawasan sempadan wilayah autonomi Crimea, sekali gus memberi bayangan perang antara Ukraine dan Moscow boleh tercetus pada bila-bila masa.
Seorang pengawal sempadan Ukraine yang enggan dikenali berkata, kapal-kapal tentera laut Rusia juga telah tiba di perairan Sevastopol yang merupakan bandar pelabuhan utama Crimea.
Bandar tersebut juga adalah merupakan pangkalan utama Armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam.
Menurut pengawal tersebut, tentera Rusia menyekat perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, pengawal itu tidak pasti jumlah kenderaan tentera Rusia yang dikerah ke sempadan tersebut yang terletak di sepanjang 4.5 kilometer di Selat Kerch.
Semalam, kerajaan sementara Ukraine mengarahkan semua anggota tentera simpanannya diaktifkan bagi menghadapi konfrontasi dengan Rusia.
Dalam perkembangan lain, berpuluh-puluh orang dilaporkan cedera dalam keganasan yang tercetus di bandar Kharkiv, timur Ukraine apabila aktivis pro-Rusia bertindak menyerbu ibu pejabat kerajaan wilayah itu, kelmarin.
Keganasan terbaharu itu membayangkan kerajaan sementara Ukraine berdepan masalah untuk mengukuhkan cengkaman di bandar utama yang dikuasai penduduk pro-Rusia selepas wilayah autonomi Crimea ketika ini dikuasai oleh kumpulan lelaki bersenjata yang berpihak kepada Moscow.
Bandar Kharkiv terletak kira-kira 658 kilometer di utara wilayah Crimea yang menjadi tumpuan dunia ekoran konfrontasi antara Rusia dan Ukraine.
Beribu-ribu penduduk mengadakan bantahan terhadap kerajaan pimpinan Presiden sementara, Oleksandr Turchynov di beberapa bandar utama termasuk di Donetsk, bandar kelahiran bekas Presiden Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada minggu lalu.
Mereka mendesak pengunduran kerajaan sementara Ukraine dan menggesa penyatuan dengan Rusia.
Sementara itu, Ketua Tentera Laut Ukraine, Laksamana Muda Denis Berezovsky belot apabila menyatakan pendirian untuk berpihak kepada kerajaan Crimea yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Sergey Aksenov.
Tindakannya itu bakal meningkatkan lagi ketegangan antara Rusia dan Ukraine yang masing-masing mahu mempertahankan Crimea, terutamanya Moscow kerana wilayah tersebut merupakan pangkalan utama tentera lautnya yang ditempatkan di Laut Hitam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140304/lu_03/Tentera-Rusia-atur-kedudukan#ixzz2uwBDokqY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, March 3, 2014

Dr M minta BR1M dihentikan segera pula.. kahkahkahkah...

'Usah diperbesarkan isu Khalid'


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Mac 2014

Anwar Ibrahim
 Anwar Ibrahim



SEREMBAN - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila pengumuman awal dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bertanding dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden parti diperbesarkan pelbagai pihak.

Menurut beliau, soal bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti merupakan perkara normal dan bukanlah sesuatu yang memelikkan.

“Kita hairan, mengapa hal ini perlu diperbesarkan. Sedangkan, dalam mana-mana parti pun ada pertandingan seperti ini termasuklah BN. Sepatutnya, tidak timbul sebarang masalah membabitkan pengumuman berkenaan.

“Namun, apabila melibatkan PKR, seolah-olah menjadi satu dosa atau kesalahan besar pula untuk melakukannya. Inilah yang kita kesalkan,” katanya selepas menghadiri sesi Dialog Bersama Anak Muda di Royale Bintang Resort & Spa, semalam.

Beliau tidak menafikan, hal ini menjadi sebutan ramai memandangkan pengumuman dibuat Abdul Khalid agak terlalu awal, sedangkan pencalonan ditetapkan pada 29 Mac ini.

“Bagaimanapun, itu hak beliau (Abdul Khalid) untuk berbuat demikian. Kita tidak menghalang mana-mana individu untuk bertanding, asalkan mematuhi etika dan tidak mengecam antara satu sama lain.

“Cuma, kita harap pada masa ini agar tumpuan penuh diberikan terhadap PRK Dun Kajang terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan negeri itu, Anwar berkata, beliau menyambut usaha itu.

“Kita menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah air yang melanda Selangor sejak sekian lama. Justeru, desas-desus mengatakan saya tidak bersetuju dengan MoU terbabit adalah tidak benar," katanya.

10 Sebab Jepun Mencapai Kemajuan:


Kredit Kpd Hj Khairol Amin Mohd Salleh yg menterjemah catatan ini, Jazahullahu Khaira:

1. Di Jepun di ajar pada awal sekolah rendah sehingga darjah enam dengan satu matapelajaran yang dinamakann “Jalan kearah Akhlak” dimana pelajar mempelajari akhlak/etika dan cara berdepan dengan orang.

2. Tidak ada kegagalan/failure pada awal sekolah rendah sehingga ke peringkat tiga pertengahan, kerana objektifnya ialah mendidik dan menanamkan konsep dan pembentukan pribadi/watak, bukan sahaja pendidikan dan indoktrinasi(dictation).

3. Jepun walaupun salah satu Negara terkaya didunia, mereka tidak mempunyai orang gaji (servants), ibu dan bapa bertanggungjawab di rumah dan keatas anak-anak mereka.

4. Kanak-kanak Jepun membersihkan sekolah mereka setiap hari selama 20min bersama-sama guru mereka. Faktor ini membawa kearah kemunculan generasi Jepun yang sederhana dan minat kearah kebersihan.

5. Kanak-kanak disekolah akan membawa berus gigi yang telah di “disinfected”/sterilkan, dan mereka membersihkan gigi mereka disekolah setiap kali lepas makan bagi mengekalkan kesihatan pada usia yang muda.

6. Pengetua sekolah akan memakan makanan pelajarnya selama setengah jam bagi memastikan keselamatan mereka, kerana pengetua menganggap pelajar adalah masa depan Jepun yang perlu diberi perlindungan.

7. Pekerja pembersihan di Jepun digelar sebagai “Jurutera Kesihatan” yang gajinya sebanyak 5000 hingga 8000 USD sebulan, tertakluk kepada ujian bertulis dan lisan.

8. Di larangan mengunakan handphone didalam tren/keretapi, restoran dan tempat-tempat yang tertutup, dan dinamakan status ‘silent’ di handphone sebagai “akhlak/etika”

9. Jika anda pergi ke restauran buffet di Jepun, anda akan dapati bahawa setiap orang akan mengambil makanan dengan kadar yang di perlukan sahaja, dan tidak akan meninggalkan apa-apa makanan diatas pingan.

10. Kadar kelambatan keretapi/tren adalah sebanyak 7 saat sahaja dalam satu tahun, ini kerana mereka adalah orang yang tahu akan nilai masa, dan gemar kepada ketepatan saat dan minit.

Sumber Asal: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=521265741257650&set=a.140501556000739.30439.140501459334082&type=1&theater

Ukraine di ambang perang


Ukraine memanggil semua anggota tentera simpanan negara itu dan mengarahkan mereka bersedia sedia secepat mungkin bagi menghadapi perang, kata pegawai kanan keselamatan semalam.

Setiausaha Majlis Keselamatan Ukraine Andriy Paruby berkata, Kementerian Luar juga diarah untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan AS dan Britain bagi melindungi negara berkenaan.

Keputusan itu diambil ekoran parlimen Russia memberi kuasa kepada Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine.



Membacakan arahan itu selepas mesyuarat, Paruby berkata, Kementerian Pertahanan Ukraine “akan menganjurkan latihan sewajarnya ke atas sejumlah kakitangan tentera” yang dikerah dalam pasukan simpanan.

Ukraine menetapkan seseorang berusia sehingga 40 tahun sebagai usia yang wajib berkhidmat dalam pasukan tentera jika keadaan memerlukan.


Sementara itu, konvoi membabitkan ratusan tentera Russia bergerak ke Crimea sehari selepas pasukan keselamatan negara berkenaan menguasai kawasan strategik wilayah autonomi Ukraine berkenaan.


Keputusan itu diambil ketika Barat menggesa Moscow menggerakkan tenteranya ke Crimea ketika kerajaan baru Ukraine tidak berkuasa melakukan apa-apa tindak balas.

Putin berkata, Russia berhak melindungi kepentingannya di wilayah itu serta tempat lain di Ukraine.

Crimea adalah wilayah yang didiami sehingga 60 peratus etnik Russia.

Semalam Presiden AS Barack Obama bercakap dengan Putin melalui telefon selama 90 minit dan menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap ‘pelanggaran ketara Russia ke atas kedaulatan Ukraine.’ Sumber Rumah Putih berkata, Obama mengingatkan Putin, tindakannya “terus melanggar peraturan antarabangsa akan membawa kepada pengasingan politik dan ekonomi yang lebih besar.”

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/03

Polis buru lima penyerang

BEBERAPA anggota polis mengawal lokasi pembunuhan di sebuah stesen kereta api di Kunming semalam.


BEIJING - Polis semalam memburu lima penyerang yang bertanggungjawab membunuh 29 orang dalam serangan yang menggunakan pisau di sebuah stesen kereta api di Kunming, Yunnan kelmarin.
Satu siasatan mendapati lebih 10 orang penyerang itu merupakan golongan gerila pemisah etnik Uighur.
Pendedahan itu dibuat agensi berita Xinhua.
Kebanyakan etnik Uighur menetap di wilayah autonomi Xinjiang di barat daya China.
Wilayah itu mengandungi 21.8 juta penduduk.
Menurut portal berita CCTC News Channel, polis menembak mati tiga orang lelaki dan seorang wanita dalam kejadian tersebut.
"Saya mendengar orang ramai menjerit dan menyatakan terdapat orang yang telah ditikam," kata seorang pengguna di stesen kereta api tersebut kepada Xinhua.
"Saya berasa panik dan orang ramai melarikan diri. Saya menghubungi polis selepas saya berlari beberapa ratus meter. Namun, seorang rakan sekelas saya mengalami kecederaan," tambahnya.
Seorang pengguna laman media sosial Sina Weibo menyatakan, para penyerang itu memperoleh latihan khas semasa melakukan serangan tersebut berdasarkan cara mereka melakukan serangan. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2uqh5ymHd 
Hakcipta terpelihara 

Ukraine-Rusia sedia berperang


SEORANG askar berdiri dekat barsian kenderaan milik tentera Rusia di bandar Balaclava, Semenanjung Crimea kelmarin.


KIEV - Kerajaan Ukraine mula berada selangkah ke dunia peperangan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan beliau mempunyai hak untuk menceroboh Semenanjung Crimea.
Ketegangan yang berlaku melibatkan Ukraine dengan Rusia dan Barat itu dianggap yang paling buruk sejak Perang Dingin berakhir.
"Ia (pengumuman Putin) itu bukan merupakan satu ancaman, sebaliknya ia sebenarnya pengisytiharan perang ke atas negara kami," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk.
Beliau merupakan ketua kerajaan pro-Barat yang mengambil alih kuasa di Ukraine selepas Presiden negara itu yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych melarikan diri dari Kiev pada minggu lalu.
Putin memperoleh kebenaran daripada anggota-anggota Parlimen negaranya untuk melindungi warga Rusia di Ukraine selepas krisis politik berlaku di negara tersebut.
Tentera Rusia telah menawan Crimea yang merupakan wilayah Ukraine yang diberikan taraf pemerintahan autonomi.
Wilayah itu mengandungi sebuah pangkalan tentera laut milik Rusia.
Askar-askar Rusia turut mengepung beberapa buah pusat ketenteraan Ukraine dan menuntut tentera negara itu meletakkan senjata.
Sebahagian askar Ukraine enggan menurut arahan tentera Rusia walaupun tiada tembakan kedengaran.
Majlis Keselamatan Ukraine mengarahkan para pegawainya memastikan semua askar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan sebarang pertempuran.
Kementerian Pertahanan Ukraine mengarahkan semua anggota simpanan diaktifkan.
"Jika Presiden Rusia mahu menjadi Presiden yang memulakan peperangan melibatkan dua buah negara berjiran ini, beliau akan mencapai sasarannya dalam tempoh yang amat dekat. Kita kini berada di pinggir bencana," kata Yatseniuk menerusi televisyen yang meminta sokongan negara-negara Barat.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyuarakan kebimbangan berhubung pencerobohan Rusia ke dalam wilayah Ukraine.
Menurut Whita House, Rusia jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana telah menceroboh wilayah Ukraine.
Ukraine turut meminta bantuan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhubung ancaman Rusia.
Konflik di Ukraine semakin memuncak selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.
Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara polis dengan pe nunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.
Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uqgcAKyf 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, March 2, 2014

'Geli hati dengar alasan menteri'

FATHIN ATHIRAH HASLI
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
2 Mac 2014
 SHAH ALAM – Kenyataan seorang menteri berhubung 17,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang enggan menerima bantuan tersebut dianggap melucukan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berasa geli hati apabila seorang menteri menyifatkan keengganan 17,000 golongan individu menerima BR1M sebagai bukti kematangan rakyat di negeri ini.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan gagal memahami sentimen rakyat. Kegagalan parti politik untuk memahami permasalahan dan keperluan masyarakat merupakan satu kerugian besar dalam bidang politik,” katanya yang dipetik dari blognya, Chedet.com, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan,  Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, penolakan itu membuktikan rakyat Malaysia semakin ‘matang’ dan tidak memerlukan bantuan dari kerajaan.

"BR1M tahun ini agak luar biasa kerana masyarakat kita makin matang. Ada 17,000 penerima BR1M 2.0 tahun lalu yang tulis surat kepada kita menyatakan bahawa keluarga mereka tidak memerlukan BR1M.

"Walaupun sebahagian besar daripadanya masuk dalam senarai penerima tetapi merasakan bahawa mereka bukan keluarga yang memerlukan," katanya yang turut memaklumkan nama 17,000 penerima itu akan dikeluarkan daripada senarai penerima BR1M.

Tambah Mahathir lagi, kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion kepada 7 juta rakyat Malaysia dan ianya disifatkan satu pembaziran dengan jumlah yang besar.

“Masih terdapat golongan individu atau keluarga yang miskin di negara ini, kita sepatutnya menggunakan peruntukan tersebut untuk membantu mereka,” jelasnya.

BJ Habibie wakaf tanah 50 hektar untuk universiti

Burhanuddin Jusuf Habibie
Burhanuddin Jusuf Habibie. - Foto ihsan Antara News
1 Mac 2014  GORONTALO – INDODESIA. Bekas Presiden Indonesia, Burhanuddin Jusuf Habibie mewakafkan tanah miliknya seluas 50 hektar di Kabupaten Bone Bolango, untuk tujuan pembangunan Universiti Negeri Gorontalo (UNG).

"Saya ingin UNG konsisten dan menjadi pusat kebudayaan dan pendidikan di daerah ini. Kampus ini harus menjadi wadah untuk menghasilkan SDM yang memiliki nilai tambah," katanya ketika berucap pada kuliah umum di Auditorium UNG, semalam.

Memetik laporan Antara News, Habibie turut berpesan supaya tanah tersebut dimanfaatkan untuk mengembangkan pendidikan dan kebudayaan di Gorontalo.

Kepada ribuan mahasiswa dan dosen yang menyambutnya, ia berbagi tips menjadi orang yang bermanfaat bagi bangsa dan negara.

"Sains dan Teknologi saja tidak cukup, harus ada iman dan takwa agar menjadi manusia yang mempunyai nilai tambah. Mahasiswa tidak ada bezanya dengan Habibie saat itu," ujar pemimpin yang berjaya menamatkan pengajiannya di Jerman pada usia 28 tahun.

Tambah Habibie, cara menuju kejayaan adalah dengan mewujudkan sinergi positif dengan semua perkara yang dihadapi.

"Bagi para calon sarjana, sila timbang sendiri langkah yang akan ditempuh agar dapat bersinergi positif dalam kehidupan," tambahnya.

Syanie akhiri zaman janda


Langkawi: Pelakon komedi wanita Syanie Hisham, 39, sah bergelar isteri kepada Nadi Putera Mohd Zainol, 27, dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah di Sandy Beach Resort, di sini, semalam.
Pernikahan kali kedua bagi Syanie atau Syaniza Hisham selepas menjanda 12 tahun itu disempurnakan bapanya Hisham Abd Rahman, 63, manakala khutbah nikah disampaikan Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Nor Ismardi Ismail. 
Majlis mulai jam 11.10 pagi itu turut dihadiri 150 ahli keluarga terdekat pasangan pengantin. 

Bekas peserta program Masterchef Selebriti Malaysia Musim Kedua (MCSM2) itu menerima mas kahwin RM5,000 berserta lima dulang hantaran berupa pakaian dan perhiasan daripada pihak pengantin lelaki.
Foto
SYANIE mesra bersama Nadi Putera selepas dinikahkan, semalam.

Syanie dan Nadi Putera bertunang pada Ogos lalu sebelum memilih meraikan hari bahagia mereka di tepi pantai dengan tema ‘wed- ding beach’.

Ketika ditemui, Syanie berkata, dia bersyukur kerana segala-galanya selesai dengan selamat pada jam 11.25 pagi dan belum bercadang berbulan madu dalam tempoh terdekat. 


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Saturday, March 1, 2014

Pancaroba

WOI MACAI!!! NI BUKAN DUIT BAPAK KO PUNYA. APA PEMBANGKANG TAK BAYAR CUKAI KE??? DUIT PARTI DENGAN DUIT KERAJAAN PUN TAK TAU NAK BEZA. TAK HERANLAH MADEY KATA YANG TINGGAL DALAM UMNO CUMA ORANG2 YANG BODOH2 SEMUA. 

Adenan angkat sumpah KM Sarawak


ADENAN mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu di Astana Negeri, Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING - Sarawak melakar satu lagi detik bersejarah dengan pelantikan Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri yang kelima di Astana Negeri di sini semalam.
Detik bersejarah itu dirakam selepas Adenan, 70, menyempurnakan upacara mengangkat sumpah menerima jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada pukul pukul 9.38 pagi.
Yang Dipertua Negeri kemudian berkenan mengurniakan watikah pelantikan jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Adenan bagi menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang melepaskan jawatan disandang beliau sejak 33 tahun lalu.
Turut hadir menyaksikan upacara istiadat angkat sumpah Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu ialah isteri beliau, Puan Sri Jamilah Anu, barisan Kabinet Negeri, Menteri Persekutuan serta kenamaan lain.
Sebelum ini, Abdul Taib,78, telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan memilih Adenan sebagai penggantinya selepas diberi kuasa sepenuhnya oleh Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta kaukus khas pada 12 Februari lalu.
Tiga Ketua Menteri Sarawak sebelum Abdul Taib ialah Datuk Stephen Kalong Ningkan dari tahun 1963 hingga 1966, Datuk Penghulu Tawi Sli (1966-1970) dan Tun Abdul Rahman Ya'kub (1970-1981).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2uf0Cmlq5 
Hakcipta terpelihara 

'Muka macam saya tapi bukan saya'


WAN Muhammad Azri Wan Deris (dua dari kanan) yang didakwa pemilik blog www.papagomo.com, keluar dari mahkamah selepas keputusan kes saman fitnah Anwar Ibrahim terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR 28 Feb. - "Muka macam saya. Tapi bukan saya."
Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd., Wan Muhammad Azri Wan Deris selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000.
Wan Muhammad Azri berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop membuat keputusan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.
Anwar memfailkan saman itu pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa Wan Muhammad Azri, 31, adalah pemilik blog, www.papagomo.com yang menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac tahun lalu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa Wan Muhammad Azri, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan itu adalah beliau.
Sambil mempersoalkan mengapa Anwar, 67, sehingga hari ini tidak menyaman ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Wan Muhammad Azri menegaskan, persoalan tersebut seharusnya ditanya oleh masyarakat kepada Anwar.
Shazryl Eskay adalah bekas Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi merupakan salah seorang daripada 'Trio Datuk T' yang mendedahkan rakaman video seks dikatakan mirip pemimpin pembangkang dengan seorang wanita.
Dengan menyifatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai pembohong bersiri, Wan Muhammad Azri meminta agar Anwar bertaubat.
Katanya, beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut akan mengemukakan rayuan.
Sementara itu peguam, Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, Isnin ini dan akan memohon supaya pelaksanaan penghakiman itu ditangguhkan.
Anwar selaku pihak plaintif, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Wan Muhammad Azri, yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfitnah beliau dengan mengeluarkan perkataan yang membawa maksud beliau, seorang tidak bermoral dan tidak layak menjadi pemimpin politik.
Dalam alasan penghakiman setebal 35 muka surat, Rosilah berkata, pernyataan fitnah tersebut merujuk secara peribadi kepada Anwar dan umum mengetahui siapakah plaintif, isteri dan anak perempuannya.
Pernyataan fitnah yang merujuk kepada plaintif itu, bagi Rosilah adalah melampau, terlalu menjijikkan, lucah dan mahkamah berpendapat, laman web atau blog tersebut dibuat khusus untuk memfitnah plaintif.
Mengenai gambar lelaki yang dirakam oleh penulis blog Perisik Rakyat, Mohd. Fauzi Mohd. Azmi yang memberi keterangan sebagai saksi plaintif, Rosilah mendapati gambar tersebut kelihatan sama seperti pihak defendan.
Setelah meneliti keterangan pihak defendan secara menyeluruh Rosilah berkata, kenyataan fitnah yang disiarkan di dalam internet telah tersebar luas dan boleh diakses hingga ke seluruh dunia dan akan mencemarkan reputasi Anwar.
Plaintif yang kini berada di Jepun diwakili peguam, N. Surendran dan Latheefa Koya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140301/ma_01/Muka-macam-saya-tapi-bukan-saya#ixzz2ueotcznj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cadangan Suthep berdebat dengan Yingluck ditolak


Ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berucap di hadapan penyokongnya dalam perhimpunan di luar ibu pejabat polis di Bangkok. Thailand, kelmarin. - AFP
BANGKOK 28 Feb. - Timbalan Perdana Menteri sementara Thailand, Chalerm Yoobamrung hari ini, menolak usul ketua penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban untuk mengadakan debat siaran langsung dengan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Beliau berkata, ini berikutan Yingluck merupakan Perdana Menteri yang sah, manakala Suthep merupakan ketua antikerajaan dalam perhimpunan haram.
"Suthep cuba mengusulkan rundingan kerana perhimpunan antikerajaan semakin hilang momentum, walhal dia juga pernah menolak dialog sebelum ini. Jadi Yingluck tidak patut menerima cadangan itu, " katanya.
Suthep mengemukakan usul debat itu semalam selepas dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sejak beberapa minggu lalu.
Namun begitu, dalam ucapannya baru-baru ini, dia menyalahkan Yingluck berhubung serangan terhadap penunjuk perasaan minggu lalu yang menyebabkan lima orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak.
"Yingluck telah membunuh empat orang kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya yang turut mencabar penyokong Perdana Menteri itu untuk turun padang ke Bangkok dan melancarkan perang saudara.
Yingluck yang kini berada di bandar Chiang Mai mengulas berkenaan cadangan debat itu dan berkata, perbincangan berkenaan memerlukan kajian mendalam.
Keganasan yang berlaku sejak tunjuk perasaan di ibu negara ini bermula November lalu bagi menyingkirkan Yingluck daripada jawatannya itu, menyebabkan sejumlah 23 orang terbunuh. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_04/Cadangan-Suthep-berdebat-dengan-Yingluck-ditolak#ixzz2uegvjr7L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas Presiden Ukraine muncul


Beberapa lelaki bersenjata berkawal di sekitar lapangan terbang di Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS
SIMFEROPOL, Ukraine 28 Feb. - Bekas Presiden Ukraine yang digulingkan, Viktor Yanukovych akhirnya muncul hari ini dalam satu sidang akhbar di Moscow, menyatakan bahawa beliau akan terus ‘berjuang untuk negaranya’.
Selepas meninggalkan Ukraine pada hujung minggu lalu dan lima hari menghilangkan diri, Yanukovych menegaskan beliau bukan disingkirkan tetapi terpaksa meninggalkan Kiev selepas merasakan nyawanya terancam.
"Situasi di Ukraine kini huru-hara dan tidak terkawal. Saya meminta maaf kepada semua rakyat Ukraine kerana tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan," katanya ketika ditanya adakah beliau tidak malu dengan apa yang berlaku di negaranya.
Yanukovych yang digulingkan seminggu selepas keganasan politik yang meragut hampir 100 nyawa dan kini hidup sebagai pelarian, menganggap dirinya masih memegang jawatan Presiden Ukraine.
Beliau dikehendaki atas dakwaan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan apabila mengarahkan pihak keselamatan menggempur lokasi bantahan antikerajaan kira-kira seminggu lalu.
Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Ukraine hari ini menyatakan bakal meminta Moscow mengekstradisi pemimpin tersebut selepas beliau disahkan berada di Rusia.
Ukraine hari ini turut memberi amaran kepada Rusia berhubung tindakan Moscow mencampuri konflik terbaharu di wilayah autonomi Crimea.
Kerajaan Barat menyuarakan kebimbangan tentang situasi berbahaya di Crimea selepas sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia merampas bangunan kerajaan Crimea dan menggesa Rusia agar tidak memburukkan lagi keadaan.
Semalam, Presiden Rusia, Vladimir Putin mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menyelesaikan konflik di Ukraine yang berlanjutan sejak tiga bulan lalu.
Namun Presiden sementara Ukraine, Oleksandr Turchynov membalas kenyataan Putin dengan berkata, sebarang tindakan tentera Rusia yang beroperasi di Laut Hitam di Crimea akan dianggap sebagai tindakan ketenteraan.
Sekumpulan lelaki bersenjata berpakaian tentera turut merampas sebuah lapangan terbang di Crimea, awal hari ini.
Saksi yang memberitahu agensi berita Interfax berkata, kira-kira 50 lelaki bersenjata itu memakai pakaian yang sama seperti kumpulan yang merampas bangunan kerajaan dan Parlimen Crimea kelmarin. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_01/Bekas-Presiden-Ukraine-muncul#ixzz2uefu5FLG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, February 28, 2014

Abdul Khalid akan tentang Azmin


JAMILAH HAMZAH
28 Februari 2014

khalid ibrahim dan azmin ali
khalid ibrahim dan azmin ali



SHAH ALAM - [Video] Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden parti sekaligus menentang Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, fokus utama perlu diberikan pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini sebagai salah satu langkah untuk memenangi jawatan tersebut.

"Saya akan terima amanah rakyat supaya saya bekerja dengan penuh tanggungjawab.

"Namun kita harus fokus kepada PRK Dun Kajang terlebih dahulu, jangan terlalu kempen saya untuk jawatan timbalan presiden.

"Kalau kita kalah di Kajang malulah saya, bagaimana harapan rakyat dan saya nak jadi timbalan presiden PKR," katanya pada Majlis Kasih Bertaut, di kediaman rasminya, malam ini.

Tambahnya, keputusan itu dilakukan berikutan menerima sokongan rakan dalam parti.

Dalam pada itu, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang itu menasihatkan pengikutnya supaya menjadikan perkara itu sebagai fokus kedua.

"Saya sudah terangkan sebab menawarkan diri bertanding timbalan presiden PKR, saya harap rakyat menjadikan hal ini perkara kedua.

"Saya tak nak ada yang cakap menteri besar salah guna kuasa," katanya.

Selain itu, Abdul Khalid juga menyatakan keputusan yang dilakukannya tidak melibatkan spekulasi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

"Saya tak tahu pun Nurul Izzah nak bertanding atau menarik diri," katanya.

Yingluck tidak minat berdebat


Ia bererti cadangan itu tidak mungkin akan diadakan. 
Yingluck yang melakukan lawatan di sini berkata dia lebih gemar berunding untuk mengakhiri konflik politik negara itu, namun mempertikaikan apa yang boleh dijadikan asas perbincangan dengan saingannya itu. 

“Adakah ia termasuk dalam rangka peruntukan perlembagaan? Jika tidak, apa gunanya berbincang kerana tidak akan membawa sebarang penyelesaian,” katanya.
Foto
YINGLUCK disambut orang ramai di Chiang Mai.

Yingluck mengulas cabaran dikeluarkan ketua Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) itu untuk bersemuka dalam debat.

Menurutnya, PDRC mesti menghentikan semua tunjuk perasaan terlebih dulu. 
“Rakyat mahukan demonstrasi mereka ditamatkan,” katanya. 

Suthep sebelum itu berkata dia bersetuju berbincang dengan syarat Yingluck duduk bersemuka dengannya manakala proses rundingan ditayangkan secara langsung di seluruh negara supaya dapat disaksikan rakyat. 

Suthep berkata, dia bersedia mewakili ‘perhimpunan pemberontakan besar’ atau ‘muan maha prachachon’ dalam rundingan dengan Yingluck asalkan ia hanya membabitkan mereka berdua. 

Sementara itu, jurucakap PDRC Akanat Promphan berkata, cadangan Suthep itu berikutan gesaan Yingluck supaya PDRC bekerja sama mengakhiri krisis berkenaan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

Kumpulan lelaki bersenjata tawan Parlimen Crimea


ORANG ramai duduk di atas sebuah kereta perisai di hadapan Parlimen Ukraine dalam satu perhimpunan di Kiev semalam.


SIMFEROPOL - Berpuluh-puluh lelaki bersenjata pro-Rusia menawan ibu pejabat dan Parlimen wilayah Semenanjung Crimea di Ukraine semalam dan mengibarkan bendera Rusia.
Seorang koresponden agensi berita Reuters di ibu negeri Crimea, di sini memberitahu, pintu masuk bangunan Parlimen itu dihalang dari dalam menggunakan beberapa buah meja dan kerusi.
Bangunan berkenaan kini dikepung oleh lebih 100 anggota polis.
Kumpulan bersenjata itu belum membuat sebarang tuntutan setakat ini manakala pihak berkuasa juga tidak pasti sama ada terdapat tebusan dalam kejadian itu.
Tiada sesiapa yang dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.
Agensi berita Interfax memetik seorang saksi melaporkan terdapat kira-kira 60 orang di dalam bangunan berkenaan dengan mereka memiliki banyak senjata api.
"Tiada sesiapa cedera apabila bangunan itu dirampas pada awal pagi semalam," kata sumber.
Crimea merupakan satu-satunya wilayah di Ukraine yang dihuni oleh majoriti etnik Rusia sekali gus kubu kuat terakhir penyokong Presiden Viktor Yanukovich yang ditumbangkan pada Sabtu lalu.
Sehingga kini, barisan kepimpinan baharu Ukraine bimbang berhubung tanda-tanda pemisahan di Crimea.
Stesen televisyen tempatan melaporkan rampasan bangunan itu disahkan oleh pemangku menteri dalam negeri Ukraine.
Yanukovich ditumbangkan selepas tunjuk perasaan selama tiga bulan di ibu negara berkenaan, Kiev.
Beliau kini diburu oleh pemerintah baharu berhubung kematian kira-kira 100 orang dalam protes tersebut.
Ukraine memperoleh kemerdekaan selepas kejatuhan negara Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Sementara itu seorang pegawai Rusia dipetik sebagai berkata, Moscow telah meluluskan permohonan Yanukovych untuk mencari suaka di Rusia. Yanukovych yang melarikan diri dari ibu kota Ukraine, Kiev pada minggu lalu memberitahu media Rusia bahawa beliau masih menganggap dirinya sebagai Presiden Ukraine yang sah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uZCZh3Pd 
Hakcipta terpelihara 

Anwar fail permohonan kali ketiga mohon Muhammad Shafee digugurkan


PUTRAJAYA 27 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kali ketiga menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Permohonan tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Mac ini, setelah Anwar gagal dalam dua permohonannya sebelum ini untuk menggugurkan Muhammad Shafee di mahkamah tersebut mahupun di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan terbaharu itu difailkan pada 25 Februari lalu, iaitu tiga hari sebelum pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan esok.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima permohonan terbaharu itu semalam.
Kali ini, alasan yang digunakan Anwar ialah Muhammad Shafee pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam selepas didapati melanggar peruntukan di bawah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 oleh Badan Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 5 Oktober 2012.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menolak untuk mencampuri keputusan Majlis Peguam terhadap Muhammad Shafee yang didenda kerana memberi publisiti tentang dirinya dan firma guaman beliau kira-kira empat tahun lalu.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 16 November 2012 untuk mengetepikan keputusan badan tersebut yang mendenda beliau setelah didakwa terlibat dengan salah laku yang melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pada 12 Februari lalu, rayuan kes terbabit sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan namun sebelum sempat ia berlaku, Anwar melalui peguamnya Karpal Singh telah mengemukakan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira.
Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.
Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.
Perbicaraan kes kes liwat itu sendiri pernah tertangguh lebih 55 kali sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan terbabit pada 9 Januari 2012.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_02/Anwar-fail-permohonan-kali-ketiga-mohon-Muhammad-Shafee-digugurkan#ixzz2uZCDAIJW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hadi mohon ketepi perintah bayar RM2 juta


DARI KIRI: ABDUL HADI AWANG, MOHD. SHAMSUL
KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memfailkan permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.
Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Asmuni Awi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.20 pagi ini.
Menurut peguam tersebut, pihaknya akan menghantar salinan permohonan itu kepada peguam A. Vasudevan yang mewakili Mohd. Shamsul selaku plaintif dalam masa terdekat.
"Kalau ada sebarang hujah yang ingin dimasukkan plaintif, mereka boleh failkan dan kalau ada keperluan di peringkat kami untuk menjawab dokumen dan afidavit tersebut, ia akan dibuat sebelum tarikh perbicaraan pada 30 Mac nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Asmuni berkata, pihaknya hanya mengetahui tentang perintah penghakiman ingkar itu pada Ahad lalu walaupun hakikatnya ia telah difailkan plaintif pada 17 Februari.
"Pihak plaintif tidak memaklumkan dan berkomunikasi dengan kami dan saya hanya mengetahui secara kebetulan berhubung perintah penghakiman ingkar itu," katanya.
Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd. Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan oleh pihak plaintif.
Abdul Hadi juga diperintah membayar faedah lima peratus daripada jumlah ganti rugi tersebut mulai dari tarikh tuntutan itu difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos RM1,500 setelah gagal memfailkan pembelaan terhadap saman tersebut.
Tindakan saman itu dikemukakan oleh Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu sebagai alasan untuk Pas turut meletakkan calonnya bertanding walaupun melibatkan pertandingan tiga penjuru.
Mohd. Shamsul yang berdepan dengan calon Pas dan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 52 undi dalam pilihan raya itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April tahun lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_05/Hadi-mohon-ketepi-perintah-bayar-RM2-juta#ixzz2uZBzdu7q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, February 27, 2014

Filipina bebas pemimpin gerila Islam


MANILA - Kerajaan Filipina telah membebaskan seorang pemimpin gerila Islam yang ditangkap baru-baru ini, Wahid Tundok, kata kedua-dua pihak semalam.
Penangkapan Wahid dianggap mengancam rundingan damai antara Manila dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Dia dan beberapa pengawal peribadinya yang lengkap bersenjata ditahan di sebuah pos kawalan kerajaan dekat bandar Cotabato, selatan Filipina pada Ahad lalu.
Perkembangan itu berlaku menjelang satu persetujuan damai dengan MILF yang dijangka dimeterai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Dia kini berada dalam keadaan baik," kata Ketua Hal Ehwal politik MILF, Ghazali Jaafar semalam tanpa mengulas lanjut.
Kerajaan dan para perunding MILF mengkritik tindakan pihak berkuasa menangkap Wahid itu.
Namun, dia yang amat dikehendaki tentera Filipina kerana berdepan pelbagai dakwaan jenayah termasuk melakukan kebakaran.
MILF yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Pulau Mindanao, selatan Filipina mempunyai seramai 12,000 anggota. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2uTV4tJGS 
Hakcipta terpelihara 

TV3 diarah bayar RM30,000 kepada Nizar


Mohammad Nizar Jamaluddin
PUTRAJAYA 25 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini mendapati Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) telah memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dua tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah turut memerintahkan syarikat televisyen itu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Mohammad Nizar.
Berhubung ganti rugi, Hakim Mohammad Ariff memerintahkan agar taksiran tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes terbabit.
Yang turut bersidang ialah Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.
Pada prosiding hari ini, Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni, manakala TV3 diwakili peguam, Liew Teck Huat.
Terdahulu dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Ariff menyatakan, selepas mengambil kira kesemua keterangan, Mahkamah tidak bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi.
Tambah beliau, TV3 telah gagal dari segi justifikasi (kewajaran) dan gagal menunjukkan bahawa laporan berita itu benar atau separuh benar.
Selain itu, terdapat niat jahat dalam laporan itu, kata hakim terbabit.
Pada 12 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Mohammad Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, berhubung isu yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berlainan telah memutuskan bahawa syarikat penerbitan akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) telah memfitnah Mohammad Nizar.
Teck Huat ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihaknya akan meneliti penghakiman penuh panel tersebut sebelum membuat rayuan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140226/ma_03/TV3-diarah-bayar-RM30000-kepada-Nizar#ixzz2uTRHWDh8
© Utusan Melayu (M) Bhd