Sunday, October 10, 2010

Bomoh kejar lembaga

JERTIH: Rumah gadis misteri di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, yang kerap ghaib menjelang senja dan tengah malam diserbu ratusan penduduk apabila dua bomoh yang merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus, malam tadi.


TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.
TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.

Dua bomoh itu yang datang untuk menawarkan khidmat percuma selepas mengetahui kisah gadis itu menerusi akhbar sejak Selasa lalu, berpecah ketika sesi merawat, dengan seorang mengerjakan solat di dalam rumah dan seorang lagi menggunakan jampi di luar rumah.

Selepas 15 minit kedua-dua bomoh itu merawatnya, rakan bomoh di luar rumah ternampak satu lembaga dan terus mengejar lalu berjaya menangkap makhluk berkenaan.

Kerja menangkap berkenaan berlangsung satu demi satu sebelum sembilan jin atau makhluk halus berjaya ditangkap, menyebabkan beratus-ratus penduduk setempat menyerbu rumah gadis itu dan melihat usaha bomoh menangkap makhluk itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali serta isteri turut hadir untuk melihat peristiwa yang menggemparkan penduduk daerah ini.

Ramlan berkata, selepas menangkap sembilan jin dan makhluk itu, bomoh terbabit memasukkannya ke dalam bekas khas yang bertutup bagi mengelak ia keluar.
Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit, untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, ketika ditemui berkata, sejak kisah anaknya disiarkan media ini, Selasa lalu, seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat Siti Balqis secara percuma, tetapi kejadian malam tadi paling kemuncak apabila bomoh berkenaan menunjukkan kepakaran berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Usaha wartawan Berita Minggu untuk mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri, sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap akan dihanyutkan ke laut.

Dr Sheikh Muszaphar selamat diijabkabulkan

 


2010/10/10

PUTRAJAYA: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan pasangannya, Dr Halina Mohd Yunos selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 11.40 pagi tadi, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini. 

Pasangan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunus Mohd Ali dengan bersaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Kelantan pembangkang, bukan musuh: Nik Aziz


PASIR PUTEH - Kelantan adalah negeri pembangkang, bukan musuh Kerajaan Pusat sehingga dinafikan pelbagai hak termasuk menafikan 118 projek pembangunan di negeri ini. 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pusat menghentikan begitu banyak projek yang sepatutnya diperolehi negeri itu semata-mata ditadbir parti pembangkang. 

Ketika mula memerintah Kelantan, katanya, Kerajaan Negeri memohon beberapa projek pembangunan termasuk membina pelabuhan dan lapangan terbang namun ditolak. 

“Perdana Menteri ketika itu memberi alasan laut kita cetek, sedangkan manusia boleh menyelesaikan masalah sedemikian termasuk dengan cara mendalamkannya. 

“Lapangan terbang pula, baru sekarang kita mendapat yang baru, terlalu lambat kerana kita membuat permohonan sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, semalam. 

Mursyidul Am Pas itu berkata, pemimpin Kerajaan Pusat juga telah memberi pelbagai tanggapan negatif kepada pelabur luar yang mahu memasuki negeri itu kerana mahu membiarkan Kelantan terus ketinggalan dari segi ekonominya. 

Nik Aziz berkata, itulah salah satu faktor Pas melawan Barisan Nasional (BN) kerana diskriminasi yang diamalkan selain fahaman politik yang ternyata berbeza. 

”Siapa pun yang berada di pihak mereka (BN) kita terpaksa lawan kerana kita bukan melawan batang tubuh tetapi kita melawan kerana ideologi mereka tidak berdasarkan Islam. 

”Siapa pun kita lawan kerana lawan kita ini bermaksud untuk membetulkan, menyedarkan mereka agar tidak terpesong dengan ajaran Islam,” katanya. 

Ketika ditanya isu yang akan dibangkitkan Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Nik Aziz berkata, beliau hanya menekankan ajaran Islam dan menyerahkan soal membangkitkan isu kepada pemimpin lain. 

Sementara itu pada majlis berasingan di KOTA BHARU, Nik Aziz berkata, Pas akan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di Galas bila tiba masanya. 

“Itu dia ada program dia. Akan sampai masanya. Bila tiba masanya..tak apa...saya akan beritahu. Tak payah risau,” katanya 

Mengenai keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan persetujuan menerima tawaran sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, beliau berkata: 

“Hak tu ikut dia (Tengku Razaleigh)...dia punya fasal. Kita lawan tetap akan lawan. Dia nak terima tak nak itu dia punya fasal. Saya kenal dia lama. Saya rasa dia tak layak jadi calon. Masa dia jadi ketua perhubungan pun di Kelantan tetapi dia sendiri tak calon diri dia untuk DUN. 

“Apa ertinya masa dia sendiri jadi ketua perhubungan dia tak calon diri dia sebagai ADUN...tiba-tiba sekarang ini dia jadi Ahli Parlimen kita suruh dia turun ke bawah. Ini tak betul.”

Sultan Ismail Petra semakin pulih



IBRAHIM (kanan) berbual dengan Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota Kubang Kerian, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang masih menjalani rawatan fisioterapi sejak kembali dari Singapura kini semakin menunjukkan perkembangan positif.
Presiden Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang berkesempatan menghadap baginda di Istana Mahkota di sini kira-kira pukul 5 petang kelmarin berkata, perkembangan kesihatan Sultan Ismail kini bertambah baik berbanding sebelum ini.
“Saya rasa gembira dan hiba, bila saya masuk dan duduk di hadapan baginda, baginda masih ingat dan kenal dengan saya.
“Saya bersyukur apabila mendengar kata-kata baginda itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Sultan Ismail di Istana Mahkota di sini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu membuat kunjungan selama kira-kira sejam ke atas Sultan Ismail Petra untuk bertanya khabar selain melihat sendiri perkembangan terkini kesihatan baginda.

Jadi pelajar demi anak


ZAIDAH melihat sijil diploma Siti Hawa pada Majlis Konvokesyen Kelima UMP di Kuantan semalam.


KUANTAN – Pengorbanan seorang ibu yang sanggup menjalani kehidupan seperti pelajar semata-mata untuk membantu anaknya yang lumpuh melanjutkan pelajaran ke universiti membuahkan hasil lebih daripada sekadar sekeping ijazah.
Berkat kesabaran Zaidah Tamjis, 47, anaknya itu, Siti Hawa Apandi, 21, muncul antara graduan cemerlang jurusan Diploma Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.79.
Zaidah sedar Siti Hawa yang berkerusi roda kerana menghidap penyakit astrofi muskular spina (SMA) iaitu penyakit berkaitan saraf motor sejak kecil, tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.
Siti Hawa sekadar boleh memegang nota kuliah dan buku seberat tidak melebihi 500 gram.
Bagi memastikan anaknya berjaya seperti insan normal lain, suri rumah dari Taman Mahkota, Gambang, Kuantan itu bertekad membantu anaknya
“Selama tiga tahun saya jadi macam pelajar, duduk dengan dia di asrama, masuk dewan kuliah dan ikut sesi perbincangan dengan pelajar lain.

Derita 11 tahun berakhir


Tan Swee Lan jelas gembira apabila mendapat semula bekalan air paip.


ULU YAM 8 Okt. - Sejak 11 tahun lalu, seorang ibu tunggal, Tan Swee Lan, 44, hidup tanpa bekalan air bersih.
Dalam tempoh tersebut, dia yang mempunyai lapan orang anak terpaksa menggunakan sumber dari perigi berdekatan rumahnya untuk mandi, memasak dan sebagainya.
Bekalan ke rumahnya di Kampung Asam Kumbang di sini dipotong kerana dia tidak mampu melunaskan bayaran bil berjumlah RM895 yang telah tertunggak sejak 1999.
Dia tidak mengeluh kerana tahu dia tidak mampu membayar bil air dan setelah sekian lama bergantung kepada air perigi, dia juga sudah biasa dengan keadaan itu.
Namun, kepayahan yang ditempuhinya itu mendapat perhatian daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan kakitangannya serta kakitangan Puncak Niaga Sdn. Bhd.
Walaupun tahu Swee Lan berhutang tetapi atas rasa prihatin, Syabas turun padang untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan keluarga itu mendapat semula bekalan air bersih.
Langkah Syabas itu adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan agar turut mendapat bekalan air bersih seperti orang lain dan menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.
Menerusi program itu, Swee Lan mendapat bantuan berupa bekalan air percuma selama enam bulan dan bil airnya yang tertunggak akan dilupus kira.
Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi berkata, program tersebut merupakan inisiatif kakitangan Syabas dan Puncak Niaga bagi membantu pengguna-pengguna daif di Selangor.
Katanya, kakitangan Syabas dan Puncak Niaga yang tinggal di Selangor dengan rela hati akan menyerahkan kelayakan air percuma kepada golongan kurang berkemampuan itu.
"Pemilihan penerima ini telah ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Syabas yang melakukan siasatan bagi membolehkan mereka memilih calon-calon yang layak untuk menerima air percuma .
"Antara kriteria pemilihan tersebut adalah mereka yang berpendapatan rendah, bil tunggakan yang diandaikan tidak akan mampu dibayar dan bekalan air sudah dihentikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas majlis sumbangan bekalan air percuma kepada keluarga yang memerlukan itu di sini semalam.
Turut menerima sumbangan itu ialah Wong Siew Keah, 41, yang tinggal bersama seorang adiknya yang mempunyai masalah mental.
Dia yang tidak berkerja serta menghidap penyakit kencing manis meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jiran-jiran berhampiran.
Kesusahan hidupnya itu menyebabkan dia tidak mampu untuk menjelaskan bil air yang tertunggak sejak sekian lama yang berjumlah RM198.
"Saya berterima kasih kepada Syabas atas usaha murni mereka ini. Mereka benar-benar prihatin dan tidak lupa kepada golongan seperti kami.
"Sudah lama rumah saya tidak mendapat bekalan air bersih akibat tidak mampu menjelaskan bil yang tertunggak," katanya.
Ujarnya, kini dia mampu menggunakan air seperti biasa dan selepas tempoh enam bulan ini, dia akan berusaha untuk tidak membiarkan bilnya tertunggak lagi.

Kata dua untuk AS


SIRTE, Libya 9 Okt. - Menteri-Menteri Liga Arab semalam memberikan masa sebulan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan rundingan damai Asia Barat, yang dikatakan akan gagal kecuali Israel menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Jawatankuasa Susulan Liga Arab dalam satu kenyataan memberitahu, ia akan bersidang dalam masa sebulan lagi bagi meneliti semula alternatif yang dicadangkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan menetapkan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.
Jawatankuasa proses damai Asia Barat yang dianggotai 13 menteri luar Arab itu, turut menggesa Washington mendesak Israel menghentikan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi.
"Jawatankuasa menyokong pendirian Abbas yang menuntut pembinaan penempatan haram Yahudi dihentikan sepenuhnya bagi membolehkan rundingan damai disambung semula," jelas kenyataan tersebut.
Jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, kenyataan itu menyatakan sokongan padu terhadap pendirian Presiden Palestin tersebut.
Kenyataan Liga Arab itu disambut baik AS yang berjanji akan menjalankan pelbagai usaha bagi membolehkan rundingan damai diteruskan.
Sementara itu, Abbas semalam dilapor telah memberitahu pemimpin-pemimpin Arab bahawa beliau akan meminta AS mengiktiraf negara Palestin.
Langkah beliau itu akan meletakkan tekanan baru ke atas Israel untuk melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan rumah haram Yahudi di Tebing Barat, tanpa Abbas menyebut rundingan damai tidak akan diteruskan.
Perunding kanan Palestin, Saeb Erekat berkata, 'alternatif' kepada rundingan secara langsung yang dilancarkan lima bulan lalu itu telah dibicangkan, antaranya meminta AS mengiktiraf sempadan Palestin 1967. - AFP/Reuters

Kisah Sosilawati difilemkan


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pengarah filem, Dr. Mahadi J Murat akan menerbitkan filem cereka berjudul "Sosilawati, Cerita Seorang Wanita" dipadankan daripada kisah hidup jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh pada Ogos lalu.
Filem yang mengisahkan kegigihan perjuangan seorang wanita dalam mengharungi cabaran hidup ini yang juga membawa tema "cinta, benci dan tragedi" itu, menggandingkan pelakon-pelakon popular pujaan ramai.
Anak sulung Allahyarham, Erni Dekritawati Yuliana Borhan, 25, mengesahkan persetujuan telah dicapai antara pihaknya dengan Mahadi mengenai perkara itu.
"Saya dan adik-adik yang lain bersetuju dengan idea penerbitan filem ini oleh Mahadi selagi ia berkisar kepada perkara positif.
"Barangkali melalui penghasilan filem ini, boleh menjadi iktibar dan tauladan kepada masyarakat akan perjuangan Allahyarham ibu kami," kata Rita kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, perjuangan Allahyarham ibunya sebagai anak orang susah, tetapi dengan kerja keras, usaha bersungguh-sungguh akhirnya telah berjaya merubah kehidupannya.
"Ini kisah menarik yang perlu dikongsi dengan masyarakat," tegas Rita lagi.
Difahamkan, Mahadi yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Penyelidikan) Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM kini sedang dalam peringkat akhir menyiapkan skrip filem berkenaan yang dijangka menjalankan penggambaran di lokasi utama di Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.
Mahadi juga memilih London dan Bandung sebagai lokasi penggambaran filem tersebut.
Menurut Rita, majlis pengumuman pelakon akan dibuat tidak lama lagi dan penggambaran dijangka bermula Disember depan.
Mahadi ialah pemenang Anugerah Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik Festival Filem Malaysia ke 12. Filem arahannya Sayang Salmah pernah menerima anugerah Best For Humanity di Festival Filem Dunia di Kuala Lumpur yang bertemakan keamanan sejagat pada tahun 2004

Saturday, October 9, 2010

'Saya sudah maafkan mereka'




2010/10/09

Raja Azura
Raja Azura
Raja Azura bersahabat dengan bekas suami elak anak-anak tertekan 

KUALA LUMPUR: "Saya sudah memaafkan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam keruntuhan rumah tangga. Saya tidak berdendam, tetapi saya percaya Tuhan pasti memberikan balasan setimpal buat mereka yang sanggup merentap kebahagiaan saya dan anak-anak. Apa perasaan anda jika orang yang disayangi diambil orang?"Kenyataan itu sekali gus membayangkan rumah tangga pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, dan Adzmin Tan Sri Osman, 37, berkecai disebabkan kehadiran orang ketiga.
Pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 7, Megat Luqman Hakim, 6, dan Puteri Mia Maizura, 4, itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 28 September lalu secara tertutup. 

“Tak perlu nak ulas panjang lebar, saya tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan bekas suami. Saya tidak marah, jauh sekali menyimpan sekelumit perasan dendam. Bagi saya, jika seronok teruskanlah! Saya percaya buat baik dibalas baik, buat jahat dapatlah habuannya. Biar Allah SWT saja yang memberi balasan. Kebenaran akan datang tanpa ditegakkan dan berdiri dengan sendirinya. Itu janji Tuhan kepada mereka yang berdiri atas kebenaran. 

“Saya meneruskan perceraian selepas perselisihan tidak menemui jalan penyelesaian. Jalan terakhir, saya terpaksa merelakan perpisahan. Bagaimanapun, ia bukan bermakna rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi. Perceraian berlaku atas dasar cuba memulihkan rumah tangga melalui kaedah memperbaiki dari luar selepas cara memperbaiki dari dalam tidak mendatangkan kesan. 

“Kami bercerai atas dasar persetujuan bersama dan tiada apa-apa sengketa. Bekas suami memang berat hati melepaskan saya, tetapi terpaksa menurut. Punca perceraian, biarlah menjadi rahsia hati saya selama-lamanya, ia terlalu peribadi untuk dijelaskan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, perceraian amat mematangkan kami. Apabila berpisah, terselit rasa rindu, kehilangan dan sunyi, jadi antara kami saling menilai. 
“Saya dan bekas suami masih berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Insya-Allah, kami mungkin rujuk kembali andai kata dapat mencari jalan penyelesaian dalam tempoh edah selama tiga bulan. Bagaimanapun, jika keadaan tidak berubah, saya harus memilih jalan hidup sendiri. Saya reda jika antara kami sudah tiada jodoh,” katanya. 

Raja Azura berkata, hubungannya dengan bekas suami masih baik, malah mereka bergilir-gilir menjaga dan menguruskan keperluan anak-anak setiap hari. Bekas suaminya pulang ke rumah apabila dirinya keluar bekerja kira-kira jam 5 pagi. 

“Saya dan bekas suami tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, malah hingga hari ini, anak-anak tidak pernah mengetahui kami sudah bercerai. Adzmin keluar rumah sejak melafazkan cerai pada 28 September lalu, tetapi tetap menjenguk anak-anak setiap hari. 

“Walaupun bukan lagi suami isteri tetapi kami tetap jadi sahabat baik untuk anak-anak. Saya tidak mahu anak-anak menerima tekanan apabila mengetahui kami sudah berpisah. Anak-anak saya masih kecil untuk memahami apa yang berlaku, saya tidak mahu mereka menjadi mangsa perceraian,” katanya. 

Aidil bakal dedah kemelut dengan Rita





2010/10/09

MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
SEREMBAN: Kemelut rumah tangga pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, semakin berantakan apabila suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, mahu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka tidak lama lagi. 

Malah Berita Harian difahamkan, satu surat peguam sudah dihantar kepada Rita yang memaklumkan bahawa kemelut rumah tangga mereka akan diselesaikan mengikut undang-undang syariah pada hujung Oktober ini. Bagaimanapun, Aidil Zafuan enggan mengulas mengenai desas-desus itu.“Sekarang biarlah dia nak keluarkan kenyataan apa pun, itu hak dia. Saya akan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga kami tidak lama lagi,” kata Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan.
Ketika ditemui selepas menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dekat sini, petang semalam, Aidil Zafuan berkata, jadual hariannya sangat ketat dan masih belum sempat berbincang dengan keluarganya mengenai masalah itu. 

Katanya, masalah itu muncul dalam media massa secara mengejut menyebabkan dia perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana mahu menjaga hati banyak pihak, termasuk Rita Rudaini dan keluarganya supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. 

“Apa yang berlaku terlalu peribadi. Dia dan keluarganya tahu, keluarga saya pun tahu. Apa pun dia isteri saya dan saya tidak mahu cerita buruk yang akan mengaibkannya,” katanya lagi. 

Berita Harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Rita Rudaini yang mendakwa rumah tangganya bersama Aidil Zafuan yang dibina atas dasar cinta, mulai goyah disebabkan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentuanya. 
Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand, pada 25 Februari 2008 kerana dikatakan tidak mendapat restu keluarga suaminya. 

Hasil perkahwinan lebih dua tahun itu, Aidil Zafuan dan Rita Rudaini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan. 

Sementara itu, bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 61, berkata pihaknya tidak tahu mengenai dakwaan surat peguam itu kerana sehingga semalam dia masih belum bertemu anaknya untuk berbincang. 

“Sejak pulang dari Vietnam minggu lalu, kami belum bertemu Aidil Zafuan atau mengadakan perbincangan mengenai rumah tangga mereka kerana dia sibuk dengan tugasan sebagai pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan. 

“Malah selepas latihan atau perlawanan bola sepak, dia tidak balik ke Seremban sebaliknya ke rumahnya di Kuala Lumpur. Jadi, bagaimana timbulnya isu bahawa kami nak menyaman Rita. Saya tidak tahu, walaupun kami sedar banyak kenyataan pelakon itu yang boleh dipersoalkan,” katanya. 

Abd Razak berkata, keluarganya tidak mahu mengeluarkan kenyataan terburu-buru sebelum mendapat penjelasan daripada anaknya dan akan mengadakan perbincangan bersama ahli keluarga lain bagi mengelak kenyataan tidak benar dan memalukan keluarga. 

“Kami dah jelaskan biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap. Kami perlu ambil masa dan berbincang dengan Aidil Zafuan serta ahli keluarga lain,” tegasnya. 

Difahamkan, Aidil pulang ke rumahnya di Sikamat di sini, malam tadi untuk bertemu keluarganya. 

Ku Li terima pelantikan pengarah pilihan raya Galas, calon diputuskan Isnin


2010/10/09

SEPANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN)/UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata demikian setibanya daripada bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, sebentar tadi.Beliau bagaimanapun berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hijrah Maher Zain


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/10/09

  • Foto

  • Foto
Penyanyi lagu Thank You Allah cuba lupakan kisah kejahilan

SUATU ketika dulu dia pernah lalai dan hanyut dalam arus dosa dan noda. Leka dengan godaan dunia sehingga lupa pada agamanya sendiri. Itulah pengakuan penyanyi popular, Maher Zain, saat mendedahkan kisah silam sewaktu zaman kejahilannya tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, dia terlalu asyik mengejar keduniaan dan banyak menghabiskan masa dengan berhibur, membuatkan dia semakin lupa pada yang Esa.Ditambah hakikat dia sering dikelilingi sahabat yang tunggang langgang perjalanan hidupnya membuatkan Maher tersasar dalam mencari arah tuju. Mujurlah dalam keadaan terumbang-ambing begitu, Tuhan cepat memberikan kesedaran. Lantas, dia bangkit dan mencari jalan memperbetulkan diri.
"Tiga tahun lalu, hidup saya penuh dengan noda dan dosa. Macam-macam perkara jahat yang saya lakukan. Mencari hiburan di kelab malam, bersosial hingga lupa diri. Tapi mujurlah kesedaran itu datang dengan cepat dan saya tidak sempat untuk terjebak dalam gejala sosial yang lebih dahsyat seperti penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.

"Dari situ saya sedar, Tuhan sentiasa ada di sisi saya untuk memberi panduan dan tidak mahu terus membiarkan saya terus sesat dan terumbang-ambing dalam menjalani kehidupan yang fana ini,” ujar Maher ketika ditemui pada majlis pelancaran album perdananya, Thank You Allah, di Menara Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Maher turut menerima anugerah Platinum apabila album yang mula berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu itu berjaya dijual sebanyak 30,000 unit. Satu angka yang cukup hebat untuk penyanyi baru sepertinya.

Penghijrahannya itu dilakukan dengan rela hati, tanpa sebarang paksaan dari sesiapa. Cerita penyanyi Insha Allah ini, sampai satu tahap, ada getar di hati menyatakan apa yang dilakukannya itu adalah salah. 
"Ada ketika saya sendiri sampai tahap bertegang urat dengan kawan-kawan dan mempertikaikan apa yang kami sudah lakukan sebelum ini. Dari situ, saya secara berdikit-dikit meninggalkan semua tabiat buruk. Perkenalan dengan komposer terkenal Red One menjadi titik tolak saya mengembangkan bakat sebagai seorang penulis lagu.

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui, saya cuba menyampaikan mesej bahawa walaupun kita sudah tersesat jauh, namun Allah sentiasa ada di sisi dan tetap menunjukkan jalan kebenaran,” tutur pemuda berusia 28 tahun ini.

Apabila dia menghasilkan album sulungnya, apa yang berlegar di fikiran adalah sekadar berkongsi bakat serta menyalurkan amanat berguna untuk semua penggemar muziknya. Namun tidak pula dia menyangka sambutan luar dugaan yang terbentang di depan mata.

"Saya tak tahu nak kata apa. Apabila album ini berjaya menarik perhatian peminat dari pelbagai negara, itu sudah cukup menggembirakan saya. Sekurang-kurangnya saya tahu mereka suka dengan apa yang saya hasilkan. Dan lebih mengujakan, golongan bukan Islam juga menyukai album ini,” cerita Maher lagi.

Ditanya apakah pandangannya terhadap sikap sesetengah pihak yang begitu fobia dengan Islam serta sering melabelkan agama suci ini dengan perkara tidak baik, Maher berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menunjukkan sifat terpuji seperti yang dikehendaki Islam supaya mereka di luar sana tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan musuh agama.

Cinta sumber inspirasi

LAGU nyanyiannya penuh dengan rasa cinta. Walaupun secara zahirnya album ini jelas menyatakan perasaan cintanya terhadap Allah, namun jelas pemuda yang berasal dari Lubnan ini, mesejnya lebih dari apa yang tersurat.

"Memang kebanyakan lagu saya memperlihatkan rasa cinta pada Allah, tetapi pada masa sama, lagu ini juga boleh ditujukan kepada ibu dan bapa, isteri, anak dan ibu serta kekasih. Terpulang pada pendengar untuk menterjemahkannya. Namun apa yang saya boleh katakan, semua lagu yang dihasilkan mengambil frasa cinta sebagai sumber inspirasi. 

"Apabila dalam hati kita penuh dengan perasaan cinta, maka semuanya akan menjadi mudah,” ujar Maher yang turut popular dengan lagu cinta berhantu berjudul For the Rest of My Life.

Biarpun bersikap terbuka dan ramah kala temubual ini dilangsungkan, Maher bagaimanapun agak berahsia orangnya.

"Terus terang, saya memang tidak selesa apabila ditanyakan soal peribadi. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Jika tidak, biarlah pertanyaan lebih tertumpu pada kerjaya saya saja," tegasnya yang hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert solo Save the Soul di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 14 dan 15 Oktober ini. 

Bekas guru saman kerajaan



KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 4 November untuk keputusan kes saman seorang guru terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Malaysia kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan memerintahkan dia dibuang kerja enam tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Razak Baharudin.
Pada 4 Disember tahun lalu, Abdul Razak (gambar), 51, yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah melakukan diskriminasi yang bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan apabila memerintahkan dia dibuang kerja berkuat kuasa 7 September 2004 mengikut peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993.
Dia juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan sewajarnya memerintahkan dia ditamatkan perkhidmatan menurut Peraturan 49(3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 dan seterusnya dibersarakan mengikut seksyen 10(5) Akta Pencen 1980.
Selain itu, Abdul Razak memohon dia dibayar faedah persaraan dan bayaran pencen ke atas khidmatnya.