Friday, April 2, 2010

75 jenis SMS digantung tahun lalu



KUALA LUMPUR 1 April - Kerajaan telah menggantung sebanyak 75 jenis khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun lalu kerana mengandungi mesej tidak bermoral termasuk yang menawarkan video lucah.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Seai Kie berkata, mesej sedemikian ditawarkan oleh 15 penyedia perkhidmatan SMS.
"Sepanjang 2009, kita menerima aduan membabitkan 66 kes dan satu kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya menjawab soalan Mohd. Firdaus Jaafar (Pas-Jerai)pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Firdaus bertanyakan tindakan yang diambil kementerian itu bagi membanteras SMS menawarkan video lucah yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Seai Kie menegaskan, tindakan menyalur, menghebah dan menerima video lucah adalah salah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Antara langkah yang telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membanteras SMS yang menawarkan video lucah ialah dengan menubuhkan Biro Aduan SKMM.
"Biro ini bertanggungjawab menerima semua jenis aduan, termasuk yang berkaitan pengiriman SMS lucah," ujarnya.
Di samping itu, katanya, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) turut ditubuhkan sebagai badan kawal selia industri di bawah SKMM.
"Ia berperanan menyelia kandungan yang disebarkan oleh media-media elektronik," katanya.
Menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), beliau berkata, individu yang menerima SMS sedemikian boleh memajukannya terus kepada SKMM bersama nombor penghantarnya.
"Ini bagi membolehkan tindakan segera diambil SKMM untuk membanteras SMS tidak bermoral," katanya.

No comments:

Post a Comment