Friday, April 2, 2010

AS$10b bina semula Haiti



NEW YORK 1 April - Penderma antarabangsa memberi jaminan bakal menyumbang hampir AS$10 bilion (RM35 bilion) bagi membantu proses pemulihan Haiti yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Januari lalu.
Jaminan sebanyak AS$9.9 bilion (RM34.7 bilion) daripada 50 penderma yang dinyatakan semalam itu termasuk sebanyak AS$5.3 bilion (RM18.6 bilion) bagi tempoh 2010-2011, jauh lebih tinggi berbanding AS$3.8 bilion (RM13.3 bilion) yang dicadangkan penganjur persidangan sebelum ini.
Sasaran itu bertujuan membiayai pelan tindakan berjumlah AS$4 bilion (RM14 bilion) yang dikemukakan kerajaan Haiti bagi projek pembinaan semula dalam tempoh dua tahun akan datang di negara paling miskin di benua Amerika itu.
"Negara-negara anggota dan penderma antarabangsa telah memberi jaminan sumbangan sebanyak AS$5.3 bilion (RM18.6 bilion) bagi tempoh dua tahun ini dan jumlah keseluruhan sebanyak AS$9.9 bilion (RM34.7 bilion) untuk tempoh tiga tahun dan seterusnya.
"Rakan negara Haiti telah menyumbang jumlah yang lebih besar berbanding jangkaan awal," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pada satu sidang media di akhir pertemuan tersebut.
Pertemuan itu diadakan bertujuan membantu negara Caribbean tersebut 'bangun semula' selepas gempa bumi 7.0 pada skala Richter pada 12 Januari lalu, meranapkan ibu negara Haiti, Port-au-Prince, dan mengorbankan sekurang-kurangnya 220,000 orang serta mengakibatkan 1.3 juta yang lain hilang tempat tinggal.
Sumbangan terbesar semalam datang dari Amerika Syarikat (AS) dan 27 negara Kesatuan Eropah (EU), diikuti beberapa orang kenamaan.
"Proses pembinaan semula Haiti merangkumi semua perkara termasuk ketelusan, penyelarasan dan keputusan yang dimahukan," kata Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada sidang akhbar sama.
Ketua diplomat AS itu yang mengadakan sidang akhbar bersama dengan Ki-moon turut memberikan sumbangan sebanyak AS$1.15 bilion (RM4.03 bilion) bagi membiayai pelan Haiti untuk menguatkan sektor pertanian, tenaga, kesihatan, keselamatan serta kerajaan.
Ketua Polisi Asing EU Catherine Ashton berkata, sumbangan EU termasuk derma tambahan berjumlah AS$1.6 bilion (RM5.6 bilion) yang diumumkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan blok itu kepada Haiti berjumlah hampir AS$3 bilion (RM10.5 bilion). - AFP

No comments:

Post a Comment