Friday, April 2, 2010

Polis buka kertas siasatan terhadap Koo Ham



KUALA LUMPUR 1 April - Polis akan membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelmarin yang menggambarkan seolah-olah polis akan menembak sesiapa yang tidak disukai secara sesuka hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan itu perlu dilakukan kerana kenyataan yang dikeluarkan Koo Ham itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
"Jadi...pihak polis akan siasatlah (kenyataan Koo Ham)," katanya selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Persekutuan Australia (AFP) di sini hari ini.
Sementara itu, di Ipoh, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah memberitahu, polis akan memanggil Koo Ham dalam tempoh terdekat bagi membantu melengkapkan siasatan itu.
Menurut Zulkifli, sehingga kini, pihaknya sudah memanggil wartawan yang menghadiri sidang akhbar tersebut bagi membantu melengkapkan siasatan awal.
"Kita akan panggil Koo Ham selepas siasatan awal yang dilakukan ini lengkap," katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Koo Ham melahirkan bantahan dan mendakwa ramai anggota dan pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semasa sidang DUN Perak berlangsung.
Beliau dipetik berkata; "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".
Sementara itu, Musa memberitahu, mesyuarat selama sehari itu diadakan bagi membincangkan usaha kerjasama antara PDRM dan AFP dalam membanteras jenayah merentasi sempadan di samping mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pasukan itu yang terjalin sejak awal tahun 70-an.
Turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Craig Chittick, Komisioner AFP, Tony Negus dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
PDRM diwakili sembilan ahli delegasi diketuai Musa manakala Tony mengetuai delegasi AFP yang terdiri daripada enam ahli.
Tony pada sidang media hari ini turut memuji PDRM sebagai rakan kongsi yang berkemampuan dan berkesan dalam menangani isu jenayah merentasi sempadan selama ini.
Musa pula memberitahu, hasil perkongsian maklumat risikan dan kerjasama rapat, kedua-dua pihak telah mencapai beberapa kejayaan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, antaranya melumpuhkan kegiatan penyeludupan manusia.
"Sejak 2008, kita berjaya mengheret 280 kes penyeludupan manusia ke mahkamah dan baru-baru ini, kita juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup warga Afghanistan ke Christmas Island di Australia," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment