Friday, April 2, 2010

Risiko hilang jawatan ketua pembangkang



KUALA LUMPUR 1 April - Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah boleh berkira-kira mengenai nasibnya yang berkemungkinan bakal kehilangan jawatan selaku ketua pembangkang.
Ia kerana kerajaan hari ini memutuskan untuk membawa usul bagi merujuk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran tindakannya yang cuba mengelirukan dewan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut dibuat selepas ketua pembangkang itu gagal mengemukakan bukti yang kuat dan kukuh bagi menyokong dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditiru daripada slogan One Israel.
"Kita beri peluang kepada beliau untuk membuat penjelasan dan ia telah dilakukan pada Selasa lalu. Jadi setelah kerajaan mengkaji dan saya sendiri mendengar ucapan penjelasan di Dewan Rakyat dan kemudiannya meneliti pula di bilik, kita dapati ia langsung tidak menunjukkan bukti yang nyata dan kukuh bagi menyokong dakwaan berkenaan.
"Langkah ini juga dibuat selepas kita mengambil kira kenyataan penafian syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) yang dikaitkan secara langsung dalam tuduhan itu. Kenyataan tersebut telah pun disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Anwar semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu telah mendakwa bahawa pada 2009 syarikat Apco memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Najib.
Menurut ketua pembangkang itu, syarikat yang sama telah memberi nasihat berhubung slogan One Israel pada 1999 kepada Ehud Barak yang menjadi Perdana Menteri Israel ketika itu tetapi ia dinafikan keesokkan oleh Apco termasuk dalam isu penglibatannya dengan Kerajaan.
Pada Selasa lalu pula, ketika memberi penjelasan, Anwar tidak menjawab persoalan pokok mengenai dakwaan itu sebaliknya, mengaitkan pula Apco dengan tokoh-tokoh Yahudi dan mencipta polemik baru kononnya keselamatan negara terancam ekoran kerjasama antara kerajaan dengan Apco.
Bagaimanapun, Rabu lalu, Apco sekali lagi menegaskan tidak terlibat dalam menggubal konsep 1Malaysia yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan sekarang.
Malah, Pengarah Kanan Bersekutu Apco, Adam Welsh berkata, syarikat itu juga tidak berkhidmat dengan kerajaan Israel seperti yang didakwa sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, usul itu itu akan dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2) dan beliau sendiri akan menghantar surat notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, esok.
Bagaimanapun, jelasnya, tarikh usul itu dikemukakan untuk dibahas akan ditentukan kemudian tetapi beliau mengesahkan ia akan dilaksanakan dalam sesi persidangan kali ini.
Mengenai keanggotaan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut, beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan keanggotaannya terdiri daripada wakil rakyat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan juga tiga wakil daripada pembangkang iaitu masing-masing seorang Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu, kepada soalan sama ada tindakan merujuk Anwar itu bererti Ahli Parlimen Permatang Pauh bakal digantung dan hilang jawatan selaku ketua pembangkang, Mohamed Nazri menjelaskan ia bergantung kepada pihak jawatankuasa untuk memutuskannya.
"Ia bergantung kepada majlis jawatankuasa sama ada hanya amaran keras atau gantung selama tiga bulan atau enam bulan. Jika keputusan dibuat ia perlu dibahas untuk diundi sekali lagi. Maknanya dalam kes ini kita perlu melalui dua kali proses perbahasan dan dua kali proses pengundian," katanya.
Ditanya, bagaimana jika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak hadir semasa usul dibahaskan, beliau berkata, perkara tersebut tidak akan menjejaskan perbahasan.
Namun, tegas Mohamed Nazri, beliau akan memastikan Anwar akan hadir pada perbahasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment