Tuesday, May 25, 2010

Azizan hanya yakin dengan Pas



KUALA LUMPUR 24 Mei - Hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi mempertahankan kerajaan negeri meskipun dengan majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan beliau hanya yakin dengan kekuatan Pas sahaja.
Pensyarah dari Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid menjelaskan, kenyataan Azizan itu didorong oleh perkembangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa negeri yang menyaksikan para pemimpinnya bertindak meninggalkan parti.
''Jadi sekiranya kesemua pemimpin PKR dan DAP di Kedah menjadi wakil rakyat bebas, Pas masih ada 16 (Ahli Dewan Undangan Negeri-ADUN) sementara BN ada 14 (ADUN) dan Pas boleh terus perintah.
''Berdasarkan perkembangan politik tanah air pula, beliau juga menyaksikan memang ramai pemimpin PKR keluar parti sejak beberapa tahun lalu dan terbaru Wee Choo Keong (PKR-Setiawangsa)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr. Mohd. Noor mengulas kenyataan terbaru Azizan yang dibuat menteri besar itu ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti empat ADUN Kedah di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di Alor Setar malam tadi.
Pada majlis itu, Azizan turut memberitahu bahawa beliau belum lagi 'gila' sehingga perlu membubarkan DUN dan hanya akan berbuat demikian apabila tiba ke peringkat tidak mampu lagi 'bertahan'.

No comments:

Post a Comment