Tuesday, May 25, 2010

Stesen KTMB di Tanjong Pagar pindah ke Woodlands Julai 2011



STESEN KTMB Tanjong Pagar di Singapura yang akan dipindahkan ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands pada 1 Julai 2011 - AFP


SINGAPURA 24 Mei - Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di Tanjong Pagar di sini akan berpindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) pada 1 Julai 2011, seperti yang termaktub dalam perjanjian Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perpindahan tersebut turut melibatkan pemindahan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia juga dari Tanjong Pagar ke Woodlands, yang juga satu lagi perjanjian dalam POA, yang ditandatangani pada 27 November 1990.
Katanya, kedua-dua negara turut sekata untuk membangunkan sebuah perkhidmatan rel pantas atau sistem transit pantas (rapid transit system, RTS) secara bersama bagi menghubungkan Woodlands di sini dan Tanjung Puteri di Johor Bahru, yang bakal beroperasi menjelang 2018.
"Apabila, RTS itu dapat beroperasi dengan sempurna, Malaysia boleh menimbangkan untuk memindahkan stesen KTMB dan CIQ Malaysia di Woodlands ke terminal baru kereta api di Johor Bahru selepas itu," tambah beliau pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di sini hari ini.
Perdana Menteri berada di sini dalam rangka lawatan kerja berkonsep pemukiman selama dua hari, yang bermula semalam. Ini adalah lawatan kedua beliau ke negara republik ini sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April tahun lalu.
Najib memaklumkan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bukan sahaja meletakkan isu-isu berkaitan POA di belakang hubungan baru Malaysia-Singapura yang lebih erat kini, tetapi memberi nilai tambah terhadap perjanjian-perjanjian yang terkandung dalam POA itu.
"Ini penting bagi memastikan peningkatan lagi perhubungan (connectivity) antara kedua-dua negara dapat melangkah ke tahap yang lebih bermakna dan produktif," jelasnya.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan dua hari itu, Malaysia dan Singapura bersetuju menurunkan kadar bayaran tol di Lebuh Raya Laluan Kedua bagi mengoptimumkan pengunaan jambatan kedua tersebut.
"Pengumuman mengenai penurunan kadar bayaran tol itu oleh kedua-dua pihak akan diumumkan dalam tempoh sebulan," menurut kenyataan 11 perkara itu.
Kedua-dua negara juga bersetuju menggandakan laluan perkhidmatan bas sebanyak lapan laluan baru antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dengan dua kawasan resort bersepadu serta dengan Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.
Kedua-dua negara akan turut menyokong dasar liberalisasi untuk teksi sempadan dengan membenarkan teksi tersebut mengambil dan menurunkan penumpang dalam laluan domestik perkhidmatan teksi berkenaan dan tidak lagi di terminal-terminal teksi yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Singapura akan melaksanakan Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS) bagi membolehkan lebih banyak rakyat dan pelancong berulang-alik antara kedua-dua negara.
Selain itu, Malaysia dan Singapura telah pun menubuhkan Jawatankuasa Pemeriksaan Laluan Darat Sempadan bagi menyelaraskan kerjasama dan pengurusan operasi untuk trafik seberang sempadan. - Utusan

No comments:

Post a Comment