Tuesday, May 25, 2010

Pas terpaksa mengemis sokongan bukan Islam - Syed Ali



KUALA LUMPUR 24 Mei - Cadangan Pas untuk membenarkan ahlinya yang bukan Islam mengundi dalam pemilihan parti itu pada masa depan menunjukkan mereka kini seolah-olah mengemis simpati bukan Islam.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee (gambar) berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menunjukkan kepimpinan tertinggi parti tersebut tidak lagi mampu membela masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Kenyataan Hadi itu sebenarnya hanya untuk menarik minat penyokong bukan Islam supaya terus memberikan sokongan kepada mereka.
"Namun, situasinya berbeza jika berada bersama masyarakat Islam terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan berulang kali memberitahu penyokong mereka bahawa Pas akan memperjuangkan hak orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hadi semalam bahawa Pas bersedia membenarkan ahli bukan Islamnya mengundi dalam pemilihan parti pada masa depan dan ia mungkin direalisasikan dengan penubuhan sayap baru parti itu iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Kata Syed Ali lagi, idea itu merupakan cerita lapuk yang sengaja dibangkitkan semula oleh Pas bertujuan menyedapkan hati penyokong bukan Islamnya.
"Tindakan Hadi samalah seperti tukang jual ubat di kali lima yang mengeluarkan pelbagai petua untuk melariskan jualannya," kata beliau.
Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu hanya mengingatkan kembali idea Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa bukan Islam boleh dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan.

No comments:

Post a Comment