Tuesday, May 25, 2010

Lompat parti: BN Kedah tiada kaitan



BALING 24 Mei - Barisan Nasional (BN) Kedah lebih berminat memberi tumpuan terhadap usaha-usaha membangunkan negeri ini daripada mencampuri masalah dalaman yang berlaku di kalangan parti-parti pakatan pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, sehubungan tu adalah tidak wajar sekiranya BN dikaitkan dengan spekulasi kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di negeri ini akan melompat parti.
Menurutnya, jika benar terdapat ADUN pakatan pembangkang melompat parti, ia mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hati mereka sendiri terhadap kerajaan negeri.
''BN tidak pernah membuat sebarang tawaran kepada ADUN terbabit,'' katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Program Juara Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil di sini semalam.
Katanya, beliau kesal dengan pihak tertentu yang menyalahkan BN apabila ada wakil rakyat mereka bertindak berpaling tadah.
''Apabila ada isu lompat parti, mereka akan menyalahkan BN yang kononnya membuat tawaran dan pelbagai lagi andaian," ujarnya.
Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Naib Ketua UMNO Bahagian Baling, Ishak Mat; Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Hasliza Harundan dan Penyelaras DUN Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kerajaan negeri Kedah di bawah pakatan pembangkang akan tumbang kerana empat wakil rakyatnya akan berpaling tadah dengan memberi sokongan kepada BN.
Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun BN Kedah sudah bersiap sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan sekiranya DUN Kedah dibubarkan.

No comments:

Post a Comment