Saturday, May 15, 2010

Baik sungguh kerajaan UMNO bila nak pilihanraya

RM1.12j untuk enam projek

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/05/15

SIBU: Konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan berjaya dibuktikan sekali lagi apabila Kerajaan Pusat bersetuju menyalurkan peruntukan sejumlah RM1.12 juta bagi membangunkan enam projek di Sarawak khususnya di Sibu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang dalam lawatan ke Sibu selama dua hari bermula kelmarin mengumumkan kerajaan begitu komited membantu menyalurkan bantuan kepada projek berkenaan termasuk pembinaan sekolah agama di daerah ini.
Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan itu, sejumlah RM500,000 akan disalurkan bagi tujuan membina blok tambahan Sekolah Agama Lembaga Kebajikan Islam Sibu.

“Di samping itu, kerajaan meluluskan RM300,000 untuk membina tadika di Kampung Datu Baru selain menaik taraf Masjid Al-Kadim berjumlah RM200,000,” katanya.

Daripada agihan peruntukan itu, Kerajaan Pusat turut bersetuju memberikan bantuan berjumlah RM80,000 bagi pembinaan jalan pintas bersimen dari Kampung Surau Jannah selain peruntukan pada jumlah sama diberikan untuk aktiviti tahun Pertubuhan Kebajikan Islam Cawangan Sibu.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sejumlah RM40,000 bagi kerja pembinaan pagar surau Darul Ukhwah Taman Kenari.

“Kerajaan begitu komited untuk menyalurkan bantuan kepada umat Islam di seluruh negara kerana ada antara mereka masih ketinggalan daripada aspek pendidikan, ekonomi serta sosial jika dibandingkan kaum lain yang lama maju.

“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kadar pertumbuhan ekonomi negara mencecah 10.1 peratus adalah satu khabar baik kepada semua pihak namun umat Islam jangan leka kerana banyak lagi perkara yang harus dilakukan.

“Penerokaan dalam bidang-bidang baru berkaitan pembangunan ekonomi, pendidikan dan bidang keselamatan perlu diberi perhatian jika umat Islam mahu dilihat setanding kaum lain di negara ini,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Sekolah dan Masjid Sibu, di sini, semalam.

Turut menerima sumbangan berjumlah RM365,000 ialah lapan sekolah sekitar kawasan Sibu. Terdahulu, Muhyiddin bersama hampir 1,000 penduduk Islam sekitar Sibu menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Nur sambil ditemani Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg.

No comments:

Post a Comment