Saturday, May 15, 2010

pilihanraya lagi


Gobalakrishnan mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen

PULAU PINANG 14 Mei - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (gambar) mungkin hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila didenda RM3,000 setelah disabitkan atas kesalahan menghalang anggota polis menjalankan tugas kira-kira lapan tahun lalu.
Mahkamah Majistret di sini hari ini turut memerintahkan Gobalakrishnan, 50, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000, boleh dilucutkan jawatannya.
Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pula, jawatan seseorang Ahli Parlimen akan terlucut sekiranya mahkamah menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.
Majistret Ainol Bashirah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Beliau membuat keputusan tersebut selepas selesai mendengar penggulungan hujah di akhir kes pembelaan.
Gobalakrishnan dituduh dengan sengaja menghalang penjawat awam, Cif Inspektor V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di sini kira-kira pukul 12.20 tengah malam, 29 Januari 2002.
Beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong PKR daripada menari ketika sambutan Thaipusam di Georgetown.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Gobalakrishnan diwakili oleh Peguam R.S.N Rayer manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Rayer meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya merupakan seorang Ahli Parlimen dan dikenali ramai.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan, tertuduh telah pun mempunyai kes yang hampir serupa, maka adalah wajar hukuman setimpal dikenakan terhadapnya sekali gus dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
Sementara itu, pemimpin parti pembangkang tersebut ditahan seketika di lokap mahkamah setelah beliau tidak dapat membayar denda apabila kaunter bayaran telah ditutup pada pukul 12.15 tengah hari.
Beliau bagaimanapun dilepaskan selepas membayar denda tersebut sebaik sahaja kaunter berkenaan dibuka semula pada pukul 2.45 petang.
Gobalakrishnan yang ditemui pemberita selepas pembayaran tersebut berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.
Pada masa sama, beliau menegaskan dirinya masih seorang wakil rakyat dan tidak akan menyerahkan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya pada pilihan raya umum, Mac 2008.
''Saya tidak akan letakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen sehinggalah semua proses perundangan selesai,'' katanya.

No comments:

Post a Comment