Monday, May 10, 2010

'Boleh tembak jika diserang penjenayah'



KUALA LUMPUR 9 Mei - Anggota polis hanya boleh melepaskan tembakan jika diserang penjenayah ataupun ketika cuba menangkap suspek kes jenayah berat yang melibatkan kesalahan boleh dihukum mati seperti mengedar dadah.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan menjelaskan, bagi bukan jenayah berat, anggota polis cuma boleh menggunakan kekerasan yang munasabah tetapi tidak sampai membawa maut bagi menangkap suspek.
"Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam kejadian terbaru di Negeri Sembilan semalam tetapi ingin menegaskan anggota polis tidak boleh melepaskan tembakan kecuali diserang atau mengejar suspek jenayah berat yang melibatkan kesalahan dihukum mati.
"Jika mengikut perintah sedia ada, tembakan ke udara juga tidak dibenarkan tetapi ada juga anggota polis yang buat. Kita tidak tahu di mana peluru itu akan turun dan ini boleh membahayakan sesiapa sahaja yang berhampiran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua anggota polis supaya menilai situasi sebaiknya sebelum menggunakan senjata api kerana setiap butir peluru itu 'berhantu' dan akan mencari mangsanya selepas tembakan dilepaskan.
Mohd. Jamil berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian Mohd. Azizi Aziz, 17, yang ditembak polis di Jalan Seremban-Jelebu awal pagi semalam setelah enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya.
Kes itu berlaku kurang dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah,15, maut ditembak polis ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Seksyen 11, Shah Alam pada 26 April lalu.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri menegaskan, garis panduan melepaskan tembakan sudah ada melalui perintah tetap Ketua Polis Daerah, Negeri dan Ketua Polis Negara.
Beliau mengaitkan kejadian terbaru itu dengan faktor kelemahan manusia iaitu anggota yang terlibat dilihat masih terlalu muda dan mungkin telah bertindak terburu-buru dalam keadaan cemas.
"Setiap anggota polis perlu tahu prosedur melepaskan tembakan mengikut justifikasi mempertahan diri atau mengejar suspek tertentu.
"Jika mengejar suspek seperti pengedar dadah mereka boleh melepaskan tembakan tetapi bukan terus tembak, mungkin tembakan amaran dahulu," ujarnya.
Tegasnya, tembakan amaran juga bukan satu kebiasaan dan tidak boleh dilepaskan secara membuta-tuli memandangkan tindakan itu cuma sebagai peringatan terhadap penjenayah yang cuba mengancam polis.
Beliau turut mencadangkan supaya amalan perbarisan dan taklimat (roll-call) dibuat secara berkala bagi menerapkan garis panduan operasi dan tindakan polis di samping membolehkan ketua dan penyelia memantau disiplin anggota mereka.
"Mungkin kerana semakin sibuk dengan tugas, perkara asas kadangkala terlepas pandang. Senjata api itu sensitif dan penggunaannya perlu mengikut garis panduan tertentu.
"Perbarisan anggota membolehkan ketua dan penyelia menyampaikan arahan terkini dan memberi peringatan tentang arahan sedia ada terutamanya melibatkan senjata api dan peringatan tentang rasuah.
"Oleh itu, ketua dan penyelia perlu menguatkuasakan perbarisan harian, mingguan atau bulanan dengan tegas bagi membolehkan arahan dan disiplin anggota dipantau dengan rapi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment