Monday, May 10, 2010

Krisis Istana Kelantan perlu diselesaikan ikut undang-undang



KUALA LUMPUR 9 Mei - Masalah dalaman Istana Kelantan yang menjadi perhatian umum mesti diselesaikan segera bagi mengelak pelbagai persepsi rakyat terhadap perkara itu.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) Mohamad Isa Abd. Ralip berpendapat, kemelut keluarga diraja Kelantan yang telah berlarutan sejak sekian lama hanya boleh diselesaikan oleh anggota keluarga diraja tersebut.
"Krisis dalaman di kalangan anggota keluarga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra itu ada kaitan dengan undang-undang tubuh negeri Kelantan di bawah perkara takhta dan pewarisan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ujar beliau, di bawah undang-undang tubuh itu jika sultan gering dan menerima rawatan di luar negeri lebih daripada sebulan, Majlis Perajaan Negeri (MPN) boleh melantik Pemangku Raja.
Beliau menambah, oleh kerana MPN telah melantik Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja tahun lalu maka krisis keluarga itu sepatutnya boleh diselesaikan.
Sementara itu,Pensyarah Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu A. Aziz berpendapat, krisis Istana Kelantan melibatkan banyak undang-undang tetapi perkara asasnya membabitkan takhta Sultan Kelantan.
"MPN mempunyai kuasa untuk menentukan siapa akan menjadi Sultan Kelantan memandangkan Tuanku Ismail Petra telah gering hampir setahun," ujarnya.
Menurutnya, perkara-perkara tersebut terdapat dalam Perlembagaan Negeri Kelantan.
Berhubung pemeriksaan yang dilakukan 10 anggota panel perubatan ke atas Sultan Kelantan yang dipertikaikan doktor peribadi baginda, Dr. Amir Ramli, Shamrahayu berkata, sepatutnya perkara itu boleh dirundingkan dengan keluarga Tuanku Ismail Petra.
"Kenyataan yang dibuat Dr. Amir selaku pakar perubatan kepada sultan itu tidak adil kerana ia akan merumitkan kemelut yang dihadapi Istana Kelantan itu.
"Menerima keputusan daripada panel 10 doktor itu akan membantu menyelesaikan masalah keluarga diraja itu," tambahnya.

No comments:

Post a Comment