Monday, May 10, 2010

Tindakan tegas kepada peniaga jual tayar toreh



JOHOR BAHRU 9 Mei - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) tidak akan berkompromi lagi dengan penjual dan pengedar tayar toreh kerana ia membahayakan keselamatan pengguna.
Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk merampas dan memusnahkan produk tersebut yang dijual dalam pasaran.
Menurutnya, JKJR sudah puas memberi nasihat kepada penjual tayar toreh agar menghentikan kegiatan tersebut tetapi masih ada peniaga yang degil.
"Sebelum ini, setiap kali turun padang, saya beri amaran tetapi masih ada segelintir peniaga yang terus menjual tayar toreh. Kini, tidak ada tolak ansur lagi, kami akan terus rampas tayar yang tidak menepati piawaian SIRIM.
"Pada masa akan datang, kalau saya turun padang di mana-mana kawasan, saya akan bawa lori sekali untuk mengangkut produk tersebut dan memusnahkan tayar-tayar itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Kempen Advokasi dan Operasi Tali Pinggang Keledar dan Topi Keledar anjuran bersama JKJR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor di sini hari ini.
Selain memantau penjualan dan pengedaran tayar toreh, JKJR turut memberi amaran keras kepada penjual topi keledar menjual produk yang tidak menepati piawaian ditetapkan.
"Sebahagian kecil masih menjual topi keledar yang tidak menepati piawaian. Tindakan sama juga akan dikenakan kepada mereka," katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak- anak mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal atau memandu kereta.
Berdasarkan kajian pada 2008, 41 peratus daripada 6,500 kemalangan maut yang dicatatkan membabitkan remaja berusia 15 hingga 25 tahun.
"Membenarkan anak-anak menunggang motosikal atau memandu kereta bukanlah cara terbaik untuk menunjukkan kasih sayang kepada mereka.
"Sebaliknya, sebagai tanda sayang, kita mesti bertegas dan memastikan mereka mempunyai lesen terlebih dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment