Monday, May 10, 2010

Pemuda Pas dakwa Perkeso miliki saham Carlsberg



KUALA LUMPUR 9 Mei - Dewan Pemuda Pas Pusat meminta penjelasan kerajaan mengenai status Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dikatakan mempunyai pegangan saham dalam syarikat arak, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai entiti di bawah Kementerian Sumber Manusia, kerajaan perlu menjelaskan mengapa Perkeso boleh terlibat sebagai pemegang saham dalam syarikat seumpama itu.
Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan tahunan syarikat itu bertarikh 25 Februari lalu, Perkeso dikatakan mempunyai sebanyak 2,155,700 saham atau 0.73 peratus dan pemegang saham yang kelima terbesar daripada 30 buah syarikat.
"Laporan jelas mengenainya boleh dilayari di alamat, http://www.carls bergmalaysia.com.my/web/investor/pdf/ ar/2009/ar09_120-121.pdf," katanya dalam blognya,episodeperjuangan. blogspot.com di bawah entri bertajuk Perkeso dalam syarikat arak.
Tambah Nasrudin, polisi Perkeso adalah memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di negara ini yang jelas memperoleh dananya melalui kutipan caruman setiap bulan daripada potongan gaji pekerja.
"Persoalannya ialah hampir 90 peratus kakitangan Perkeso merupakan kakitangan beragama Islam dan ini akan menimbulkan kerunsingan dan kerisauan yang serius kepada mereka apabila sumber pendapatan mereka diragui halal dan bersih," katanya.
Jelas beliau, sebagai sebuah negara Islam, kerajaan sepatutnya peka dengan perkara sensitif tersebut dan tidak meletakkan rakyat berasa terhina.
"Apakah tiada syarikat lain untuk Perkeso memiliki sahamnya sedangkan pada masa sama kerajaan menyedari sebahagian besar kakitangan mereka adalah beragama Islam.
"Kerajaan sewajarnya bertanggungjawab lantaran Perkeso adalah sebuah entiti kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia," katanya.

No comments:

Post a Comment