Saturday, May 1, 2010

Notis bahas kes tembak remaja di Dewan Negara



KUALA LUMPUR 29 April - Satu notis telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang bagi membahaskan usul kejadian tembak seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, pada Isnin lalu.
Senator Dr. S. Ramakrishnan pada sidang akhbar di lobi Parlimen berkata, beliau telah menghantar notis itu semalam dan berharap usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1) dapat dibahaskan pada Isnin ini.
''Kejadian ini perlu dibahaskan di dalam Dewan kerana ia membabitkan isu keselamatan negara dan telah menarik perhatian masyarakat awam," katanya.
Beliau mengulas kejadian menimpa Aminulrasyid, 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11, Shah Alam, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri ketika hendak ditahan.
Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan panel khas diketuai Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk menyiasat insiden itu.
Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60, bagaimanapun menafikan anaknya terbabit dalam aktiviti jenayah dan meminta polis menyiasat kes itu dengan telus.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramakrishnan berkata, satu inkues bebas harus diadakan kerajaan bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku.
''Saya berharap polis bersikap lebih berhati-hati sebelum melepaskan tembakan dan ia hanya boleh dilakukan jika mereka betul-betul pasti orang yang dikejar adalah penjenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment