Saturday, May 1, 2010

Wisma Putra diminta buat penjelasan



KUALA LUMPUR 30 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kawasan yang dikenali sebagai Blok L dan Blok M di pesisir Laut China Selatan tersebut telah berpindah tangan sewaktu era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dakwa Dr. Mahathir, perkara itu berlaku melalui satu perundingan antara Abdullah dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Mac 2009 bertujuan menyelesaikan isu tuntutan dan pertindihan sempadan kawasan Limbang di Sarawak.
Beliau mendakwa, sebagai balasan, Abdullah dalam perundingan yang tidak disertai pegawai Petronas kecuali pegawai Kementerian Luar dan penasihat luar negaranya telah bersetuju menyerahkan dua kawasan berkenaan kepada Brunei.
Katanya, sebagaimana yang diketahui ramai, Abdullah telah mengumumkan kejayaannya menyelesaikan isu tuntutan dan pertindihan sempadan Limbang namun tidak menyebut tentang dua blok kawasan pengeluaran minyak berkenaan.
Tambah beliau, Brunei kemudiannya telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang manakala Kementerian Luar dan Abdullah sendiri tidak membuat sebarang kenyataan balas.
"Sekarang sudah jelas bahawa dua blok berkenaan tidak lagi menjadi milik Malaysia.
"Bolehkah Wisma Putra memberi penjelasan," katanya dalam entri terbaru bertajuk Malaysia's Generosity yang disiarkan di laman blognya http://chedet.co.cc hari ini.
Mengenai latar belakang kawasan pengeluaran minyak itu, Dr. Mahathir berkata, Petronas menyertai kontrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil untuk memulakan cari gali bagi tujuan pengeluaran.
"Dianggarkan simpanan minyaknya berjumlah hampir satu bilion tong," katanya.
Terdahulu dalam entri berkenaan, beliau menjelaskan perpindahan milik kawasan pengeluaran minyak berkenaan telah dilaporkan The Financial Daily, The Edge dan Brunei Times.
Dr. Mahathir berkata, rakyat Malaysia dan media tempatan pula tidak pernah bertanya bagaimana perkara itu berlaku.
Secara sinis beliau berkata, ia mungkin kerana kehilangan kawasan pengeluaran minyak yang sebegitu besar adalah perkara biasa bagi mereka sedangkan Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan fakta sejarah.

No comments:

Post a Comment