Saturday, May 1, 2010

'Perjanjian tidak rugikan negara'- Pak Lah





KUALA LUMPUR 30 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata, perjanjian berhubung tuntutan dan pertindihan sempadan Limbang antara kerajaan Malaysia dan Brunei yang ditandatangani pada 16 Mac 2009 tidak merugikan Malaysia dari segi sumber pengeluaran minyak di kawasan itu.
Katanya, melalui perjanjian itu, kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan sempadan maritim yang akhir dan tetap di kawasan itu selain perjanjian berhubung sempadan darat.
"Perjanjian ini adalah bagi menyelesaikan tuntutan bertindih tertentu yang wujud sejak sekian lama termasuk kawasan blok konsesi yang sebelum ini dikenali sebagai Blok L dan Blok M.
"Hak kedaulatan bagi sumber di kawasan ini kini menjadi kepunyaan Brunei. Bagaimanapun, bagi kawasan ini, perjanjian akan membenarkan Malaysia menyertai aktiviti komersial iaitu membangunkan sumber minyak dan gas di kawasan itu bagi tempoh selama 40 tahun," katanya.
Abdullah Ahmad Badawi juga berkata, beliau telah menandatangani perjanjian dengan Brunei pada Mac tahun lepas itu selepas ia diluluskan Kabinet Malaysia sebulan sebelum itu.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad semalam bahawa dua blok minyak itu diserahkan kepada Brunei melalui perundingan tersebut itu bagi menyelesaikan isu tuntutan dan pertindihan sempadan Limbang.
Menurut Dr. Mahathir Petronas sebelum ini menyertai kontrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil untuk memulakan cari gali di kedua-dua blok itu bagi tujuan pengeluaran.
Kawasan pengeluaran minyak itu menurut Dr. Mahathir melibatkan jumlah simpanan berjumlah hampir satu bilion tong.
Abdullah berkata, menurut perjanjian itu, kos operasi dan kewangan bagi menguruskan aktiviti komersial yang disertai Malaysia itu akan dibincangkan selanjutnya kedua-dua pihak.
Beliau berkata, berhubung perjanjian darat pula, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan penyelidikan bersama bagi menetapkan sempadan yang tetap dan akhir yang dipersetujui kedua-dua pihak.

No comments:

Post a Comment