Tuesday, June 8, 2010

Abbas ajak Hamas damai

IBRAHIM  al-Wahidi,   mangsa tembakan tentera Israel di pantai Gaza dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, semalam.
Langkah terbaru Palestin bersatu tentang rejim Zionis

ISTANBUL: Presiden Palestin, Mahmud Abbas, berkata beliau akan menghantar delegasi ke Gaza tidak lama lagi untuk menawarkan perdamaian dengan Hamas yang menguasai wilayah itu untuk bersatu menangani serangan Israel ke atas kapal konvoi bantuan antarabangsa minggu lalu.

Jawapan terbaik (terhadap serangan ini) ialah bagi pergerakan Palestin bersatu menentang Israel, Abbas memberitahu siaran berita televisyen Turki, NTV, di Istanbul ketika menghadiri mesyuarat keselamatan Asia di sini, semalam.
Kami sudah mengumpulkan delegasi untuk ke Gaza dan memujuk Hamas bersatu semula.
Hanya satu syarat bagi penyatuan iaitu Hamas menerima pelan dirangka Mesir tahun lalu yang menyaran kedua-dua pergerakan Palestin yang bertelagah itu berdamai dan mengadakan pilihan raya, kata pemimpin pergerakan Fatah itu yang menguasai wilayah Tebing Barat.

Pergerakan Fatah dan Hamas bertelagah sekian lama sehingga Hamas mengusir Fatah dari Gaza pada 2007 menyebabkan Israel menyekat laluan ke Gaza, termasuk bantuan kemanusiaan.

Sementara itu di SHARM EL-SHEIKH, Mesir membuka pintu sempadan ke Gaza untuk tempoh yang tidak ditetapkan bagi membolehkan batuan kemanusiaan memasuki wilayah Palestin itu.

Mesir dan Israel mengenakan sekatan itu sejak Hamas menguasai Gaza tiga tahun lalu tetapi Kaherah kini berkata, sekatan itu tidak dapat mencapai matlamatnya, termasuk mendapatkan pembebasan seorang askar yang ditahan Hamas sejak 2006.
Dalam perkembangan terbaru, pasukan keselamatan Israel menembak mati empat rakyat Palestin di luar pesisir pantai Gaza semalam yang didakwa berlatih untuk menyerang kepentingan Tel Aviv.

Lelaki berkenaan yang tidak bersenjata didakwa memakai baju selam. Dua lagi lelaki Palestin yang bersama kumpulan itu masih diburu.

Saksi Palestin berkata, mereka melihat helikopter dan kapal Israel menembak ke arah sebuah bot pada awal pagi dan dua jam kemudian lima mayat terapung di laut.

Tentera Israel yang mengesahkan insiden itu mendakwa kumpulan lelaki berkenaan dalam perjalanan untuk melancarkan serangan ganas. AFP

No comments:

Post a Comment