Tuesday, June 8, 2010

Muslimat tuntut kuota jawatan Naib Presiden Pas




KUALA LUMPUR - Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) sekali lagi akan mengemukakan usul bagi mendapatkan satu kerusi naib presiden untuk kaum wanita dalam Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat ke-50 di Dewan Duyung Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan, Khamis ini. 

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, berdasarkan senario politik masa kini yang memperlihatkan semakin ramai wanita menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan timbalan pesuruhjaya negeri serta ketua kawasan, beliau yakin usul kali ini akan diterima jawatankuasa, walaupun pernah ditolak sebelum ini.

Menurutnya, Pas telah melakukan pindaan peruntukan perwakilan Muslimat untuk Muktamar Dewan Muslimat yang telah diluluskan perlembagaan pindaan 2009, iaitu seramai empat orang perwakilan Muslimat bagi setiap kawasan di seluruh negara. 

”Terdapat hanya 15 orang perwakilan bagi setiap negeri pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi pada kali ini 155 Dewan Muslimat kawasan yang berdaftar di seluruh Malaysia menjadikan jumlah Muslimat yang akan hadir adalah 620 orang. 

”Pertambahan bilangan Muslimat yang hadir menjadikan Pas sebagai parti lebih dinamik, terutama dalam penglibatan kaum wanita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agong Pas di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Salbiah Abdul Wahab dan Setiausaha, Kartini Ahmad. 

Katanya, Dewan Muslimat akan membincangkan usul tersebut di peringkat kawasan:, tetapi sebarang keputusan di peringkat Dewan Muslimat Pusat belum dibuat sama ada usul tersebut akan diterima untuk perbahasan atau sebaliknya. 

”Kami serahkan kepada barisan kepimpinan pusat untuk menentukan, apa yang penting peranan dan sumbangan wanita dalam Pas diiktiraf,” katanya. 

Untuk rekod, tahun 2005, Kelantan pernah menamakan Dr Siti Mariah Mahmod yang juga Ahli Parlimen Kota Raja untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas. 

Parti itu pernah mempunyai seorang Naib Yang Dipertua wanita, iaitu Khadijah Sidek, bekas Pesuruhjaya Pas Johor, kira-kira 40 tahun lalu. 

Nuridah berkata, seiring dengan pertambahan penglibatan kaum wanita dalam parti itu, DMPP akan sentiasa meneruskan usaha serius mendapatkan satu kerusi naib presiden untuk wanita.

No comments:

Post a Comment