Tuesday, June 8, 2010

Peruncit boikot barang kawalan



Oleh S Anand Kumar

2010/06/08

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia mahu menghentikan perniagaan penjualan tiga barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum berkuat kuasa 15 Jun ini. 

Keputusan itu dinyatakan oleh persekutuan berkenaan ketika sesi dialog dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Wisma MCA, semalam.
Dr Chua pada sidang akhbar kemudian berkata persekutuan itu menjelaskan keputusan mereka bukannya sebagai membantah pelaksanaan lesen barang kawalan oleh kerajaan tetapi kerana keuntungan tidak setimpal.
Pada masa ini, keuntungan penjualan tepung gandum, gula dan minyak masak diperoleh oleh peruncit amatlah sedikit ditambah lagi dengan barang kawalan ini perlu memohon lesen dan mengakibatkan pendapatan peruncit terjejas. 

Keuntungan bagi setiap satu kilogram gula yang diterima peruncit adalah tiga sen, 20 sen bagi setiap lima kilogram minyak masak, manakala tiga sen bagi setiap kilogram tepung gandum, katanya. 

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Lean Hing Chuan dan penasihat persekutuan Yeo Chee Soong. 

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Dr Chua berkata beliau difahamkan setiap kedai mempunyai sembilan hingga 11 lesen yang perlu dimohon antaranya lesen premis, beras, gas, timbang, papan tanda, peralatan kebakaran dan kawalan barangan sempena hari sambutan. 
Kami terkejut dengan beban peruncit kerana mereka perlu memohon dan membayar lesen RM1,107 setiap tahun, katanya. 

Bagaimanapun Dr Chua merayu kepada persatuan ini agar memberi pertimbangan semula keputusan mereka kerana beliau yakin kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan lesen itu. 

(Timbalan Presiden) Liow akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat Jemaah Menteri pada akan datang, katanya. 

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau terkejut dengan tindakan peruncit mahu memboikot penjualan barang kawalan itu. 

Katanya, beliau difahamkan tindakan memboikot itu bertujuan membantah keputusan kerajaan melaksanakan lesen runcit barangan kawalan. 

Saya hairan dengan sikap peruncit yang masih tidak faham mengenai kelonggaran diberikan kerajaan kepada mereka berhubung isu penjualan barangan kawalan. Kita sudah memberi pelbagai kelonggaran, apa lagi mereka mahukan,? katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

No comments:

Post a Comment