Tuesday, June 8, 2010

Bantu KDN tangani judi



KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta mereka yang membuat pelbagai dakwaan berhubung pemberian lesen pertaruhan bola sepak agar tampil me- nyumbang idea untuk mencegah isu perjudian haram. 

“Daripada membuat bising di luar, Kerajaan Negeri (yang berkenaan) boleh bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan memberi cadangan supaya kerajaan boleh buat keputusan dalam membanteras ekonomi hitam,” katanya. 

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang terus mempertikaikan keputusan kerajaan memberi lesen pertaruhan acara sukan termasuk bola sepak dengan mendakwa kerajaan menggalakkan perjudian. 

Mengulas lanjut, His- hammuddin yang ditemui pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Tahanan Arbitrari di Parlimen di sini, semalam, berkata lesen pertaruhan itu sudah lama dikeluarkan.: 

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan untuk membendung perjudian haram khususnya ketika pertandingan Bola Sepak Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi (11 Jun ini).: 

“Isu ini berkait rapat dengan ekonomi hitam yang membabitkan RM10 bilion yang berhubungan dengan kegiatan jenayah serius seperti pemerdagangan manusia dan pinjaman wang haram atau ah long,” katanya.: 

Bagi memantau kegiatan perjudian haram ketika Piala Dunia, Hishammuddin berkata, beliau meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Koh Hong Sun membantu pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. 

Awal tahun ini kerajaan mengeluarkan lesen kepada Ascort Sports Sdn Bhd untuk mengendalikan pertaruhan orang ramai ketika acara sukan berlangsung. 

Bagaimanapun beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang tidak membenarkan syarikat itu beroperasi di negeri berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment