Monday, June 14, 2010

Kami tertekan!




PANDAMARAN - Hampir 100 penghuni flat Taman Permai Indah di sini mengadakan demonstrasi aman kerana tertekan berikutan masalah lif di kediaman mereka berlarutan sejak setahun lalu. 

Bukan setakat satu blok yang mengalami masalah tersebut tetapi keempat-empat blok di kawasan perumahan itu mengalami nasib yang sama. 

Malah, mereka turut melahirkan rasa kecewa terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Ronnie Liu yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN. 

Menurut penduduk, walaupun aduan sering dikemukakan tetapi pengurusan bangunan setinggi 11 tingkat itu tidak pernah bertindak mengatasi masalah itu. 

Malah, perkara itu sudah diajukan kepada Ronnie tetapi sehingga kini masih tidak diselesaikan. 

Seorang bekas penduduk, Mohd Nizam Basran, 40-an, berkata, dia yang sudah hampir lima tahun menetap di situ berkata, apabila keadaan itu berlaku, penghuni tingkat paling atas adalah golongan yang paling merana kerana terpaksa memanjat tangga. 

“Awak boleh bayangkan nasib penduduk di sini apabila semua lif rosak. Yang paling teruk menerima akibatnya ialah warga tua yang terpaksa turun dan naik tangga. 

“Malah, perkara yang sama turut dialami isteri saya kerana beliau mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Dia terpaksa menggunakan segala kudrat yang ada untuk menapak dari satu tangga ke satu tangga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

Oleh sebab tidak tahan dengan masalah itu, dia mengambil keputusan untuk berpindah dengan menyewa di Kota Pendamar. 

“Rumah ini saya beli pada tahun 2005 tapi hari ini kami terpaksa menyewa dengan kadar RM550 sebulan kerana tidak sanggup lagi memanjat tangga setiap hari. 

“Saya terkilan dengan sikap pihak berkenaan kerana janji mereka selama ini hanya tinggal janji semata-mata,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Pusat (JKKP) Pandamaran, Francis Pua berkata, setakat ini beliau sudah mengumpulkan aduan penghuni berkenaan untuk diajukan kepada pihak terbabit. 

“Kita memahami apa yang dirasai oleh penghuni di sini dan kita merasa kecewa kerana Ronnie tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku di sini,” katanya. 

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Klang, Datuk Dr Teh Kim Poo menggesa ADUN berkenaan lebih prihatin terhadap masalah penduduk dalam kawasan berkenaan. 

“Kenapa masalah ini belum dapat diselesaikan sedangkan penduduk sudah lama mengadu. Ke mana perginya janji-janji yang kononnya mahu menjaga kebajikan rakyat? 

“Kita minta supaya beliau (Ronnie) turun padang meninjau masalah rakyat di sini dan selesaikan secepat mungkin,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya telah mengajukan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tindakan selanjutnya. 

“Kita telah berbincang dengan menteri berkenaan untuk memohon peruntukan untuk membaiki lif di kediaman ini dan kita yakin perkara ini dapat diselesaikan nanti. Oleh itu kita berharap supaya penduduk di sini bersabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment