Monday, June 14, 2010

kutip duit rakyat buat jalan, pemimpin joli sakan, rumah kereta harga berjuta


Kutip derma bantu kerajaan negeri bina jalan

JERANTUT 13 Jun - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sokti/Bukit Puas di sini hari ini melancarkan Kempen Lebuh Raya (KLR) 1Malaysia bertujuan membantu kerajaan negeri membina lebuh raya dari Segamat ke Gambang, Kuantan.
Menerusi kempen itu, JKKK Sokti/Bukit Puas dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut akan mengutip derma sebanyak RM1 daripada setiap penduduk negeri ini bagi tujuan pembinaan lebuh raya tersebut.
Pengerusi JKKK Sokti/Bukit Puas, Saruji Abdullah berkata, matlamat kempen itu ialah untuk membuktikan keprihatinan dan kesedaran masyarakat terhadap kes kemalangan maut yang sering berlaku di laluan berbahaya itu.
''Kami amat terharu melihat kejadian kemalangan terbaru yang meragut nyawa enam sekeluarga di laluan itu, Rabu lalu.
''Justeru, kejadian berkenaan seharusnya menimbulkan kesedaran semua pihak bahawa laluan itu perlu dinaik taraf menjadi lebuh raya," katanya selepas majlis perjumpaan antara JKKK itu dengan IPD Jerantut di Kampung Sokti/Bukit Puas di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Jamaluddin Abdul Rahman dan Penghulu Mukim Burau, Wan Yusgi Wan Nazar.
Pada majlis itu, sebanyak RM100 disumbangkan kepada JKKK Sokti/Bukit Puas, hasil kutipan daripada 100 anggota IPD Jerantut sebagai memulakan KLR 1Malaysia itu.
Menurut Saruji, pihaknya akan mencadangkan kempen tersebut dibawa ke peringkat pentadbiran daerah dan Parlimen Jerantut supaya usaha mengutip RM1 itu dapat dirancakkan lagi.
''Kami berharap kerajaan negeri menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dapat mempercepatkan usaha menaik taraf laluan berkenaan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna," katanya.
Saruji menjelaskan, wang hasil kutipan itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membantu kos penyelenggaraan projek berkenaan.
Sementara itu Jamaluddin berkata, IPD Jerantut menyokong kempen itu bagi mengatasi kes kemalangan maut yang kerap berlaku di laluan sepanjang 156 Kilometer dari Segamat ke Gambang itu.
''Semua rakyat negeri ini perlu menyertai kempen ini untuk menaik taraf laluan berkenaan agar dapat mengurangkan kecelakaan. Laluan Segamat-Gambang merupakan jalan utama ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori dan kenderaan berat lain," katanya.
Selain kecuaian manusia, Jamaluddin berkata, kemalangan berpunca daripada faktor struktur jalan yang sempit, ketiadaan bahu jalan dan permukaan tidak rata yang boleh mengundang kecelakaan.
Tambahnya, kempen itu merupakan antara usaha JKKK di sini membantu pihak berkuasa untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

No comments:

Post a Comment